DUNIA > BERITA

TRUMP 'DALAM KEADAAN BAIK' SUSULAN INSIDEN TEMBAKAN SEMASA BERKEMPEN DI PENNSYLVANIA

14/07/2024 10:17 AM

WASHINGTON, 14 Julai (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump "dalam keadaan baik" selepas dilaporkan cedera dalam insiden tembakan semasa berkempen di negeri Pennsylvania, AS.

Trump dilihat dengan telinga kanannya berlumuran berdarah ketika beliau dibawa keluar dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Agensi Anadolu melaporkan jurucakap Trump Steven Cheung berkata bekas presiden itu "dalam keadaan baik."

"Trump mengucapkan terima kasih kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan petugas kecemasan atas tindakan pantas mereka semasa kejadian keji ini. Beliau dalam keadaan baik dan sedang diperiksa di kemudahan perubatan tempatan," menurutnya dalam satu kenyataan.

Kejadian tembakan itu sedang disiasat sebagai kemungkinan cubaan membunuh, lapor CNN, memetik pegawai penguatkuasa undang-undang.

Penyerang itu telah dibunuh oleh Perkhidmatan Rahsia, menurut sumber dari agensi itu, kata CNN. Seorang peserta perhimpunan turut terbunuh.

Perkhidmatan Rahsia berkata ia telah melaksanakan langkah perlindungan dan bekas presiden itu berada dalam keadaan selamat, menurut laporan itu.

"Ini kini merupakan penyiasatan Perkhidmatan Rahsia yang aktif dan maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila tersedia," katanya.

Presiden Joe Biden berkata beliau telah diberi taklimat mengenai kejadian tembakan itu.

"Saya bersyukur mendengar bahawa beliau selamat dan berada dalam keadaan baik. Saya berdoa untuk beliau dan keluarganya serta semua yang berada di perhimpunan itu, sementara kita menunggu maklumat lanjut.

"Saya dan Jill berterima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia kerana memastikan keselamatannya. Tiada tempat untuk keganasan seperti ini di Amerika. Kita mesti bersatu sebagai satu negara untuk mengecamnya," katanya. 

Biden dijangka menyampaikan ucapan tidak lama lagi.

Insiden berkenaan mendapat pelbagai reaksi seluruh dunia politik dan perniagaan dengan Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro, seorang Demokrat, mengecam kejadian tembakan itu.

"Keganasan yang disasarkan kepada mana-mana parti politik atau pemimpin politik adalah sama sekali tidak boleh diterima," katanya.

Bagi bilionair Elon Musk mengumumkan beliau menyokong Trump sebagai presiden.

"Saya menyokong sepenuhnya Presiden Trump dan berharap beliau pulih dengan cepat," tulisnya di X.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan