DUNIA > BERITA

KERAJAAN PAKISTAN AKAN HARAMKAN PARTI BEKAS PM IMRAN KHAN YANG DIPENJARA

15/07/2024 09:41 PM

KARACHI (Pakistan), 15 Julai (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Pakistan berusaha untuk mengharamkan parti bekas Perdana Menteri Imran Khan yang dipenjarakan, kata menteri penerangan pada Isnin, satu langkah yang berkemungkinan akan meningkatkan lagi krisis politik yang sedang berlaku di negara Asia Selatan itu, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu negara Islamabad, Menteri Penerangan Attaullah Tarar berkata kerajaan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Agung selepas mendapat kelulusan daripada Kabinet, yang merupakan syarat undang-undang untuk mengharamkan sesebuah parti politik.

"Pakistan dan PTI (Pakistan Tehreek-e-Insaf) tidak boleh maju bersama. Dan beberapa kejadian baru-baru ini telah membuktikan perkara ini," kata Tarar.

"Itulah sebabnya kerajaan akan mengharamkan PTI," tambahnya, sambil berkata proses itu akan dimulakan dalam beberapa hari akan datang.

Beliau menyebut penglibatan PTI dalam serangan ke atas kemudahan ketenteraan pada Mei tahun lalu selepas penahanan singkat Khan dalam kes rasuah, kerana menerima dana "terlarang" dan usahanya yang didakwa untuk mensabotaj perjanjian kerajaan-IMF untuk mewajarkan keputusan itu.

Khan, 72, yang digulingkan melalui undi tidak percaya pada April 2021, kini berada di penjara di bandar garison timur laut Rawalpindi bersama isterinya kerana didakwa terlibat dalam beberapa kes rasuah dan keganasan.

Bekas pemain kriket yang menjadi ahli politik itu telah dibebaskan dalam dua daripada tiga kes yang beliau disabitkan manakala sabitan ketiga masih ditangguhkan.

Menteri penerangan berkata kerajaan juga akan mengemukakan petisyen semakan di hadapan Mahkamah Agung terhadap keputusannya minggu lepas, yang menyatakan PTI layak mendapat kerusi simpanan untuk wanita dan minoriti. Calon-calon yang disokong parti itu memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya 8 Feb.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan