DUNIA > BERITA

MAS KOMITED TAMBAH S$100 JUTA UNTUK SOKONG KEUPAYAAN KUANTUM, AI DI SINGAPURA

18/07/2024 07:51 PM

SINGAPURA, 18 Julai (Bernama) -- Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan menambah komitmen sebanyak S$100 juta (SG$1=RM3.48) untuk menyokong institusi kewangan dalam membangunkan keupayaan teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).

Pembiayaan di bawah  Skim Geran Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan (FSTI 3.0) ini juga bertujuan untuk membolehkan kemajuan berkaitan inovasi dan penerimaan berkaitan teknologi kuantum dan AI dalam perkhidmatan kewangan.

“Teknologi kuantum adalah bidang yang berkembang pesat dan berpotensi besar untuk mengubah industri kewangan dan ekonomi secara meluas.

MAS akan mewujudkan laluan Kuantum di bawah FSTI 3.0 untuk menyokong minat institusi kewangan membina keupayaan kuantum di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Laluan Kuantum akan merangkumi geran dalam bidang pusat teknologi, inovasi teknologi, dan keselamatan.

Bagi geran keselamatan, sokongan dana sehingga 30 peratus akan diberikan untuk membolehkan pengujikajian dan pembangunan perintis berkaitan teknologi kuantum yang meneroka penggunaan Kriptografi Pasca-kuantum (PQC) dan Pengagihan Utama Kuantum (QKD) untuk melindungi data penting firma.

PQC adalah reka bentuk dan pelaksanaan protokol yang dipercayai selamat terhadap keupayaan pengkomputeran tambahan komputer kuantum manakala QKD adalah kaedah komunikasi selamat untuk pertukaran kunci penyulitan yang hanya diketahui antara pihak yang berkongsi.

MAS juga akan bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi dan Institut Perbankan dan Kewangan dalam inisiatif pembangunan bakat untuk menyokong pembangunan keupayaan kuantum dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Di samping itu, ia juga akan meningkatkan skim geran AI dan data sedia ada di bawah FSTI 3.0 yang akan mengukuhkan pembangunan dan penyebaran teknologi AI oleh institusi kewangan di Singapura serta membangunkan platform AI untuk menangani kes penggunaan yang meluas dalam industri.

MAS berkata maklumat lanjut mengenai sokongan yang dipertingkatkan untuk AI akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

FSTI 3.0, yang diperkenalkan pada Jun 2015 untuk menyokong penciptaan ekosistem yang bertenaga bagi inovasi dalam sektor kewangan, kini terdiri daripada enam laluan – Pusat Kecemerlangan (COE), Projek Industri Seluruh, Pecutan Inovasi, AIDA, RegTech dan ESG FinTech. Sebanyak S$150 juta telah diperuntukkan di bawah FSTI 3.0.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan