DUNIA > BERITA

TENTERA BANGLADESH KENAKAN PERINTAH BERKURUNG SELEPAS PROTES RAGUT 100 NYAWA

20/07/2024 04:44 PM

DHAKA, 20 Julai (Bernama-dpa) -- Kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar, umum tentera pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan mengumumkan bahawa tentera akan dikerahkan di ibu kota Dhaka dan daerah-daerah lain.

Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa. Sekurang-kurangnya 56 kematian dilaporkan pada Jumaat, menurut BBC Bangla yang memetik akhbar Prothom Alo dan The Daily Star.

Berita dari saluran ini dan media tempatan lain tidak dapat diakses dalam talian pada Sabtu, selepas kerajaan memotong sebahagian besar sambungan Internet, telefon dan SMS. Angka korban belum disahkan secara rasmi.

Kedutaan Amerika Syarikat di Bangladesh pada Jumaat melaporkan "ratusan hingga mungkin ribuan cedera."

Di ibu negara Dhaka, semua perhimpunan dilarang pada Jumaat sehingga diberitahu kelak, lapor Prothom Alo yang memetik polis.

Namun demikian, beberapa protes tetap berlaku. Polis menggunakan bom tangan penggegar, gas pemedih mata dan peluru getah. Penunjuk perasaan membakar kenderaan, kedai dan pejabat, menurut seorang wartawan dpa di lokasi kejadian.

Pada tengah malam Jumaat, wakil pelajar dilaporkan bertemu dengan wakil kerajaan. Tiada maklumat mengenai hasil pertemuan itu diketahui, lapor BBC Bangla.

Pada Sabtu, anggota tentera dilihat berada di jalan-jalan raya. Laman web kerajaan Bangladesh kelihatan digodam. Ia memaparkan mesej: "Berhenti Membunuh Pelajar" dan "Ini bukan lagi protes, ini perang sekarang."

Demonstrasi  itu yang telah berlangsung sejak awal Julai, ditujukan terhadap kemungkinan pengenalan semula sistem kuota lama.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan