DUNIA > BERITA

NEW ZEALAND LANCAR KEM LATIHAN UNTUK PESALAH MUDA

20/07/2024 08:29 PM

WELLINGTON, 20 Julai (Bernama-Xinhua) -- Sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan New Zealand untuk membanteras jenayah belia dan membantu pesalah muda kembali ke landasan yang betul, Akademi Gaya Ketenteraan secara rasmi dibuka pada Sabtu, lapor Xinhua.

Kumpulan pertama yang terdiri daripada 10 golongan muda akan memulakan masa mereka di Akademi Gaya Ketenteraan yang berbentuk percubaan mulai 29 Julai di kediaman Keadilan Belia di Palmerston North, kata Menteri Kanak-Kanak New Zealand, Karen Chhour.

Tiga bulan pertama di sana akan memberi tumpuan kepada struktur dan rutin, menangani tingkah laku jenayah, aktiviti fizikal, pendidikan dan latihan vokasional, persiapan untuk bekerja dan mencari pekerjaan, serta komponen rehabilitasi, terapeutik dan budaya khusus yang diperlukan bagi setiap individu muda, kata Chhour, sambil menambah bahawa setiap seorang akan mempunyai mentor yang konsisten sepanjang program itu.

Selepas komponen kediaman, peringkat sembilan bulan program itu akan memfokuskan kepada sokongan untuk membantu individu muda tersebut beralih kembali ke dalam komuniti, katanya, sambil menambah bahawa keluarga dan komuniti akan dilibatkan jika boleh mungkin sepanjang 12 bulan program berkenaan.

Program itu direka dan dikendalikan bersama oleh Kementerian Kanak-Kanak, Angkatan Pertahanan New Zealand, Kementerian Keadilan, Polis New Zealand dan kumpulan komuniti.

Bagaimanapun, jurucakap hal ehwal kanak-kanak Parti Buruh pembangkang, Willow-Jean Prime berkata menghantar kanak-kanak ini ke kem latihan, yang kebanyakannya telah mengalami penderaan dan trauma mendalam, boleh menyebabkan kemudaratan selanjutnya.

"Ini bukan idea baharu, ia pernah gagal sebelum ini dan berisiko gagal lagi," kata Prime.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan