DUNIA > BERITA

FAMA, Paynet Sasar 80,000 Transaksi Tanpa Tunai Di Malaysia Fest 2024

26/07/2024 05:00 PM

SINGAPURA, 26 Julai (Bernama) -- "Cashless La Boss", program transaksi tanpa tunai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Paynet Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), yang pertama di luar negara dilaksanakan di Ekspo Malaysia Fest 2024 di Singapura.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata sebanyak 80,000 transaksi tanpa tunai "Cashless La Boss" disasarkan pada ekspo berkenaan yang berlangsung dari  25 hingga 28 Julai.

“Ini kali pertama PayNet di luar negara. Kita dapat lihat peningkatan yang sangat baik sejak FAMA bekerjasama dengan PayNet,” katanya sambil menambah program "Cashless La Boss"  adalah kesinambungan kepada program "Go-Cashless" yang terjalin antara FAMA dan PayNet sejak 1 Okt 2023.

“Tahun ini kita (program ‘Go-Cashless’) dah capai lebih dua juta transaksi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program 'Cashless La Boss'  itu pada Khamis. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli.

Beliau berkata program "Go-Cashless" diperkenalkan FAMA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ke arah pendigitalan pemasaran, bertujuan untuk meningkatkan penggunaan gerbang pembayaran atas talian yang menyasarkan usahawan dan pengunjung outlet pemasarannya.

Melalui kerjasama itu, PayNet akan menyediakan sokongan dana untuk pelaksanaan program pemasaran manakala FAMA menerusi rangkaian ruang pasaran di seluruh negara melaksanakan program galakan penggunaan pembayaran secara dalam talian di outlet FAMA.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet Firdaus Ghani berkata di Malaysia Fest 2024, pengunjung Singapura boleh menggunakan aplikasi PayNow untuk membuat pembayaran.

“Transaksi dibuat masa nyata. Selama ini transaksi di Malaysia Fest dilakukan secara tunai,” katanya, serta menambah sasaran seterusnya adalah memperkenalkan program sama di Thailand, Indonesia dan China.

Di Malaysia Fest 2024, pelawat yang membuat pembelian minimum S$20 (S$1=RM3.47) dengan menggunakan Kod QR DuitNow berpeluang memenangi sama ada wang tunai, pakej percutian di Malaysia atau barangan elektronik dengan nilai keseluruhan S$10,000 di bawah program itu.

Malaysia Fest 2024 bertemakan “Explore the Gems of Malaysia" anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA dengan kerjasama MegaXpress International Pte.Ltd dari 25 hingga 28 Julai di Hall 5A dan 5B, Singapore Expo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan