DUNIA > BERITA

Bekas PM Thailand Thaksin Dapat Pengampunan Diraja, Parol Berakhir Ahad

17/08/2024 09:29 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 17 Ogos (Bernama) -- Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra mendapat pengampunan diraja dan parolnya akan berakhir Ahad (esok), menurut peguamnya, Winyat Chartmontri. 

"Penamat awal itu adalah sebahagian daripada pengampunan diraja am untuk 7,500 banduan yang berkelakuan baik sempena hari keputeraan baginda bulan lepas," media tempatan Thailand memetik Winyat sebagai berkata.

Media melaporkan bahawa pengampunan itu adalah antara yang diumumkan oleh Warta Diraja pada Sabtu, yang menyatakan bahawa Dekri Diraja dikeluarkan untuk memberikan pengampunan diraja kepada kira-kira 50,000 banduan sempena Ulang Tahun Hari Lahir Kitaran keenam Raja Maha Vajiralongkorn pada 28 Julai.

Dilaporkan bahawa dekri itu juga memberikan pengurangan hukuman kepada lebih 200,000 banduan yang sedang menjalani hukuman.

Thaksin, 74, akan termasuk antara mereka yang dibebaskan serta-merta di bawah terma dekri ini, membolehkannya meninggalkan penjara sebelum hukuman beliau tamat pada 31 Ogos.

Thaksin kembali ke Thailand pada 22 Ogos tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan setelah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan semasa memegang jawatan.

Pada hari ketibaannya di Thailand, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas perdana menteri itu.

Pada 1 Sept, hukuman penjara beliau dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja.

Perkembangan terbaru itu berlaku sehari selepas anak perempuan Thaksin dan pemimpin Parti Pheu Thai, Paetongtarn, 37, dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu, menggantikan Sreetha Thavisin yang dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu atas pelanggaran melantik menteri Kabinet dengan sabitan jenayah pada April tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan