DUNIA > BERITA

Selatan Global Yang Diperkasa Tidak Dapat Dielakkan -  PM Anwar 

21/08/2024 01:00 AM

Oleh V. Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia percaya Selatan Global yang diperkasa tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya  akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil mereka menerima perbezaan dan kepelbagaian yang ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar berkata kebangkitan naratif Selatan Global dan keinginan yang semakin meningkat untuk penglibatan yang lebih besar dalam sistem antarabangsa telah membawa kuasa serantau ke barisan hadapan dan kuasa-kuasa yang sedang muncul ini kini mempunyai peluang untuk menggunakan pengaruh dan membentuk wacana mengenai agenda Selatan Global yang sepatutnya.

“Selatan Global mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa. Kemunculan Selatan Global yang diperkasa  pada pandangan saya, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Anwar berkata:"Kini terdapat peluang sebenar untuk memajukan usaha menangani cabaran global mengikut terma yang kita boleh tetapkan secara rundingan bersama.”

"Dan ini tentunya merangkumi isu-isu mendesak yang masih kita cari penyelesaian bersama - perubahan iklim, daya tahan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI)," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Menuju Kebangkitan Selatan Global: Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India” di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA), di sini, pada Selasa.

Anwar, yang dalam lawatan rasmi ke India dari 19 hingga 21 Ogos berkata walaupun terdapat beberapa persepsi negatif, pergerakan Selatan Global tidak bertujuan untuk mengecualikan Utara Global.

Sebaliknya, beliau berkata ia berdasarkan pengiktirafan terhadap pengaruh yang semakin meningkat daripada Selatan Global dan komitmen untuk bekerjasama sebagai rakan setara dalam konteks strategik yang kompleks.

“Malah, pergerakan Selatan Global berasaskan penerimaan terhadap peningkatan pengaruh kita dan keinginan untuk bekerjasama sebagai rakan setara dalam konteks strategik kita yang kompleks,” katanya.

Beliau berkata sebagai pemacu utama kemakmuran global, Selatan Global kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.

Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari  Selatan Global, antaranya ialah India.

Selatan Global adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan negara-negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia, dan Oceania.

Negara-negara ini secara umumnya dianggap kurang maju dari segi ekonomi berbanding dengan negara-negara di Utara Global yang merangkumi Eropah, Amerika Utara, dan sebahagian Asia Timur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan