DUNIA > BERITA

Sesi Persekolahan Baharu Di Tebing Barat Bermula

09/09/2024 06:48 PM

BAITULMUQADDIS, 9 Sept (Bernama-Anadolu) -- Pelajar Palestin di Tebing Barat yang diduduki memulakan sesi persekolahan baharu pada Isnin.

Bagaimanapun, situasi berbeza dialami rakan sebaya mereka di Semenanjung Gaza yang berdepan tahun kedua berturut-turut tanpa bersekolah akibat serangan berterusan tentera Israel, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian Pendidikan Palestin dalam satu kenyataan berkata sebanyak 2,459 sekolah kerajaan, swasta dan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengalu-alukan lebih 806,360 pelajar di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Menurut kementerian itu, sesi persekolahan di Gaza bagaimanapun masih digantung disebabkan serangan berterusan Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Kementerian itu berkata lebih 10,000 pelajar di Gaza terbunuh dan 15,000 lagi cedera akibat serangan Israel, manakala 19,000 pelajar melarikan diri dari kawasan kediaman mereka.

Menurut kementerian, sekurang-kurangnya 400 guru turut terkorban di Gaza, dan 90 peratus bangunan sekolah rosak. Selain itu, seramai 39,000 pelajar Gaza tidak dapat menduduki peperiksaan sekolah menengah, dan 58,000 kanak-kanak dinafikan peluang untuk memulakan darjah satu.

Serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah membunuh hampir 41,100 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selain mencederakan hampir 94,800 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan