DUNIA > BERITA

Sidang Kemuncak WIC 2024 Bakal Dirasmikan Di Wuzhen

01/10/2024 03:22 PM

BEIJING, 1 Okt (Bernama-CMG) -- Sidang Kemuncak Perhimpunan Internet Dunia (WIC) 2024 bakal berlangsung di Wuzhen, provinsi Zhejiang China pada 19  hingga 22 November.

Dengan menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI) dan mengangkat tema "Mencipta masa depan pendigitalan yang berpaksikan rakyat -- menggembleng tenaga membina komuniti berkongsi nasib dalam ruang siber", sidang kemuncak kali ini merangkumi 24 forum.

Forum itu berkaitan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), penyelarasan antara transformasi pendigitalan dengan penghijauan, ekonomi digital, pembangunan ekosistem sumber terbuka, tadbir urus data, penguatkuasaan undang-undang, pertukaran dan saling belajar antara kebudayaan siber yang berbeza, pendidikan digital, pembangunan teknologi keselamatan siber dan kerjasama antarabangsa.

Menurut seorang pegawai Sekretariat WIC, sidang kemuncak di Wuzhen nanti akan terserlah dengan penganjuran aktiviti yang boleh menarik tumpuan sejagat seperti mengadakan majlis penganugerahan "Sumbangan Cemerlang WIC", menubuhkan Suruhanjaya Profesional AI, mewartakan Pelan Kerjasama Kumpulan Pemikir WIC, melancarkan Projek Institusi Pengajian Digital WIC dan menganjurkan kursus pengajian untuk bakat siber antarabangsa.

Sidang Kemuncak WIC di Wuzhen kini memasuki edisi ke-10 sejak penganjurannya pada 2014 dan telah menjadi platform penting yang mengumpulkan lebih 1,000 tokoh dari kerajaan pelbagai negara, pertubuhan antarabangsa, konglomerat industri Internet, serta badan akademik untuk berkongsi pandangan dan menjana impak sosial setiap tahun.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan