DUNIA > BERITA

Elon Musk Sertai Kempen Trump Di Butler

06/10/2024 02:35 PM

WASHINGTON, 6 Okt (Bernama-dpa) -- Calon presiden Parti Republikan Donald Trump pada Sabtu membawa bilionair teknologi Elon Musk ke pentas kempen pilihan raya ketika bekas presiden itu kembali ke Butler, Pennsylvania lokasi cubaan membunuhnya pada pertengahan Julai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Musk menyuarakan banyak perkara yang digunakan oleh Trump dan gandingannya, JD Vance.

Usahawan teknologi yang memulakan Tesla dan Space X serta memiliki platform media sosial X itu menyifatkan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 5 November ini sebagai "pilihan raya paling penting dalam hidup rakyat."

"Pihak satu lagi mahu merampas kebebasan bersuara anda. Mereka mahu mengambil hak anda untuk memiliki senjata," katanya kepada orang ramai, sambil menambah "mereka mahu merampas hak anda untuk mengundi."

Di lokasi perhimpunan di Butler, seorang lelaki Pennsylvania berusia 20 tahun melepaskan tembakan ke arah bekas presiden itu semasa kempen pilihan raya, mencederakannya di telinga kanan. Penyerang itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

"Presiden Trump mesti menang untuk memelihara Perlembagaan. Beliau mesti menang untuk memelihara demokrasi di Amerika," kata Musk.

"Jika mereka tidak melakukannya, ini akan menjadi pilihan raya terakhir. Itu ramalan saya."

Musk telah lama menyokong Trump. Ketua Tesla itu juga kerap mengkritik lawan Trump, calon Demokrat, Naib Presiden Kamala Harris.

Trump baru-baru ini membayangkan bahawa Musk boleh mengetuai sebuah jawatankuasa untuk mengaudit kewangan AS jika beliau memenangi pilihan raya.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan