DUNIA > BERITA

ASEAN Digesa Pergiat Usaha Kesedaran Keselamatan Siber

16/10/2024 04:05 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu mempergiatkan usahanya untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber, terutamanya dalam menangani ancaman penipuan dalam talian dan maklumat palsu yang semakin meningkat, dengan mengguna pakai pendekatan menyeluruh ASEAN bagi memastikan ekosistem digital yang selamat, terutamanya untuk kumpulan yang terdedah, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Bercakap pada Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-9 di sini, Rabu, beliau berkata komitmen kumpulan serantau itu untuk mengekalkan dan mengintegrasikan usaha-usaha ini adalah penting bagi mencapai matlamat ASEAN untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan boleh dipercayai untuk semua rakyat.

"Bagi menyokong perkara ini, kami menyokong inisiatif yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Berita Palsu dan Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Antipenipuan Dalam Talian," katanya sambil menekankan kepentingan tindakan kolektif.

Kao menyeru ASEAN mempergiatkan usaha membina kapasiti dan melancarkan kempen kesedaran siber di seluruh rantau ini untuk mengukuhkan daya tahan dengan memanfaatkan sumber yang sedia ada.

Ini termasuk Pusat Pembangunan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun (AJCCBC), Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE) dan Projek Perisai Siber ASEAN.

Dengan mengintegrasikan inisiatif ini merentasi pelbagai sektor termasuk Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ACDN) dan Pertukaran Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat ADMM (ACICE), ASEAN boleh mengurangkan kepelbagaian program, mengelak pertindihan usaha dan meningkatkan keberkesanan inisiatif, katanya.

Beliau menegaskan bahawa landskap keselamatan siber menghadapi ancaman yang semakin canggih dan sentiasa berkembang disebabkan oleh pendigitalan yang pesat, peningkatan teknologi yang mengganggu, dan kesalinghubungan infrastruktur kritikal yang semakin meningkat.

"Satu daripada cabaran terbesar adalah untuk sentiasa mendahului penjenayah siber, yang mengeksploitasi kelemahan lebih pantas daripada pertahanan boleh dibangunkan," katanya.

Kao menekankan peningkatan yang membimbangkan bagi penipuan dalam talian, dengan menyatakan bahawa Malaysia sahaja pada 2023 mengalami kerugian US$277 juta daripada lebih 32,000 kes, Thailand melaporkan kerugian US$1.25 bilion daripada lebih 300,000 kes manakala Singapura berdepan kerugian melebihi US$480 juta dalam tempoh yang sama.

Beliau menambah bahawa serangan siber di Indonesia pada Julai menjejaskan 282 agensi kerajaan, menyebabkan gangguan dan kekacauan meluas.

Angka-angka ini, kata Kao menekankan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu dan kolektif bagi mengurangkan risiko ini dan melindungi ekonomi serta masyarakat daripada kesan lanjut ancaman siber.

Beliau berkata pengoperasian penuh Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Rantau ASEAN (CERT) pada 2024 akan menjadi pencapaian penting dalam membina mekanisme serantau yang kukuh untuk tindak balas keselamatan siber yang terkoordinasi.

"Pasukan ini akan menangani ancaman dan insiden rentas sempadan dengan bekerjasama rapat dengan CERT kebangsaan dari Negara Anggota ASEAN. Pasukan ini akan menyeragamkan protokol keselamatan siber, menilai kelemahan dalam infrastruktur rangkaian, menjalankan latihan keselamatan siber dan meningkatkan perkongsian pengetahuan di seluruh rantau ini," katanya.

Kemudahan fizikal CERT Rantau ASEAN telah dilancarkan di sini pada Rabu semasa AMCC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan