DUNIA > BERITA

Xi Mahu Fujian Jadi Pelopor Pacu Modenisasi Negara

17/10/2024 02:57 PM

XIAMEN (China), 19 Okt (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mahu wilayah Fujian terus komited terhadap matlamat pembangunan dan memainkan peranan sebagai pelopor dalam memacu modenisasi negara.

Beliau membuat kenyataan itu semasa mengadakan tinjauan selama dua hari di wilayah Fujian bermula Selasa.

Ketika berada di bandar Zhangzhou dan Xiamen, Xi melawat ke kawasan luar bandar, badan perlindungan tinggalan budaya, zon rintis perdagangan bebas dan sebagainya.

Beliau berkata Fujian perlu terus melakar kemajuan lebih besar dalam usaha mempercepat pembangunan sistem ekonomi moden, di samping meneroka pendekatan baharu ke arah mewujudkan pembangunan bersepadu rentas Selat Taiwan.

Selepas mendengar laporan kerja Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di Fujian dan kerajaan tempatan, Xi menyuarakan harapan supaya wilayah itu memperkasa integrasi antara inovasi teknologi dan inovasi perindustrian sambil memperdalam pembaharuan menyeluruh dan memperluas keterbukaan bertaraf tinggi.

Beliau juga mahu Fujian menjadi teladan dalam pembangunan seimbang antara wilayah serta pembangunan bersepadu bandar dan desa, selain berusaha meningkatkan pengaruh dari segi budaya.

-- BERNAMA-CMG 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan