DUNIA > BERITA

Pelantikan Semula Sri Mulyani Dijangka Tingkatkan Keyakinan Pelabur

17/10/2024 10:29 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 17 Okt (Bernama) -- Pelantikan semula Sri Mulyani Indrawati sebagai Menteri Kewangan Indonesia dijangka akan menyemai keyakinan dalam kalangan pelabur, menurut PT Maybank Sekuritas Indonesia.

Dalam nota penyelidikan pada Khamis, firma broker itu menjelaskan bahawa peranan beliau di bawah pentadbiran Presiden terpilih Prabowo Subianto bagi tempoh 2024-2029 akan memastikan kehematan fiskal dan kesinambungan dasar.

"Terdapat kemungkinan yang lebih kecil bahawa kerajaan baharu akan memansuhkan had undang-undang terhadap defisit belanjawan atau meningkatkan nisbah hutang awam secara signifikan untuk membiayai program keutamaannya," menurut nota itu.

Sri Mulyani kini memasuki penggal kedua sebagai Menteri Kewangan di bawah Presiden Joko Widodo sejak 2016, setelah sebelum ini memegang jawatan yang sama di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (2005-2010).

Pada Isnin, beliau dilihat mengunjungi kediaman Prabowo dan berkongsi foto bersamanya di akaun media sosial, menekankan penyertaannya dalam pertemuan dengan beberapa calon menteri di kediaman Prabowo di Hambalang, Bogor pada malam Rabu.

Firma broker itu juga menyatakan bahawa tiga timbalan menteri dikenal pasti untuk membantu beliau dan memiliki pengalaman yang luas.

Timbalan-timbalan menteri itu termasuk Suahasil Nazara, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Anggito Abimanyu, bekas Ketua Agensi Dasar Fiskal di Kementerian Kewangan semasa penggal pertama Presiden Susilo Bambang Yudhoyono; dan Thomas Djiwandono, graduan Universiti Johns Hopkins, yang juga kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Kewangan.

Sementara itu, ahli ekonomi Universiti Muhammadiyah Surabaya, Arin Setyowati dalam satu kenyataan memuji reputasi Sri Mulyani dalam mengekalkan integriti kementerian dan memastikan keberkesanan dasar belanjawannya.

Kebolehannya dalam pengurusan cukai dan perbelanjaan negara diiktiraf pada 2006 apabila beliau dinamakan sebagai Menteri Kewangan Terbaik di Asia oleh Emerging Markets Forum.

Arin turut menggariskan bahawa pengalaman antarabangsa Sri Mulyani sebagai Pengarah Urusan di Bank Dunia (2010-2016) mengukuhkan lagi alasan untuk beliau melanjutkan peranannya di kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan