DUNIA > BERITA

Menteri Indonesia Jelaskan Kecenderungan Pelabur Asing Pilih Pusat Data Di Malaysia

17/10/2024 07:48 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 17 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Informasi Budi Arie Setiadi telah menekankan faktor utama yang menyumbang kepada keraguan pelabur asing untuk melabur dalam sektor pusat data republik itu, sambil menyatakan bahawa ramai lebih cenderung untuk membina kemudahan di Malaysia, terutamanya di Johor.

Beliau berkata pelaburan dalam pusat data Johor yang menyokong kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan diunjurkan mencecah US$3.8 bilion tahun ini, memetik laporan Maybank. Malaysia menawarkan tiga kelebihan utama: harga elektrik yang kompetitif, pengecualian cukai, dan kepastian undang-undang, menjadikannya destinasi lebih menarik bagi pelabur asing.

“Kos elektrik mereka ialah lapan sen setiap kilowatt per jam (kWj), mereka mempunyai pengecualian cukai untuk barangan modal, dan yang ketiga, terdapat kepastian undang-undang dalam pelaburan,” katanya seperti yang dipetik oleh portal dalam talian tempatan TrenAsia baru-baru ini.

Beliau menekankan keperluan untuk menambah baik iklim pelaburan dan reputasi republik itu bagi menarik pelabur asing, menyokong proses pelaburan yang lebih mudah serta menyatakan matlamatnya untuk mengurangkan harga elektrik bagi pusat data agar lebih berpatutan bagi pengendali.

Dalam menyokong inisiatif itu, Digital Data Centres (BDDC) secara rasmi melancarkan South East Jakarta 1 Tier IV Data Centre pada 9 Oktober, yang turut berfungsi sebagai Indonesia Internet Exchange (IIX–JK2) kedua dengan kerjasama Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia (APJII).

Malaysia dengan pantas menjadi kuasa besar pusat data di Asia Tenggara, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk pengkomputeran awan dan AI, seperti yang dilaporkan oleh CNBC pada Jun.

Negara itu telah menarik berbilion pelaburan daripada firma teknologi utama seperti Google, Nvidia dan Microsoft, khususnya di Johor Bahru, ibu negeri Johor yang terletak di sempadan dengan Singapura.

Pengarah Urusan DC Byte rantau Asia Pasifik (APAC) James Murphy meramalkan bahawa Johor Bahru akan mengatasi Singapura untuk menjadi pasaran pusat data terbesar di rantau ini, berkembang daripada hampir sifar dua tahun lalu.

Bandar raya itu juga diiktiraf sebagai pasaran yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dalam Indeks Pusat Data Global 2024 oleh DC Byte.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan