DUNIA > BERITA

'AI Gantikan Tugas, Bukan Pekerjaan' - Profesor Stanford

17/10/2024 10:03 PM

DUBAI, 17 Okt (Bernama-WAM) -- Kecerdasan buatan (AI) merupakan teknologi paling transformatif sejak Revolusi Perindustrian, namun kebanyakan pekerjaan akan kekal terjamin jika perniagaan dan penggubal dasar memberi tumpuan kepada menambah baik tugas manusia, bukannya menggantikan peranan secara keseluruhan.

Itu mesej yang disampaikan oleh Pengarah Makmal Ekonomi Digital di Universiti Stanford, Dr Erik Brynjolfsson semasa sesi panel "Keeping AI on Track" di Mesyuarat Tahunan Majlis Masa Depan Global 2024 (AMGFC24), lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Brynjolfsson berhujah bahawa AI seharusnya mempertingkatkan kualiti tugas, bukan menggantikan keseluruhan pekerjaan.

"Kerja adalah gabungan pelbagai tugas. AI boleh membantu sebahagian daripadanya," katanya, sambil memberi contoh pakar radiologi.

Walaupun terdapat kebimbangan bahawa pengenalan imej AI akan menyebabkan pakar radiologi tidak lagi diperlukan, permintaan untuk mereka meningkat tiga kali ganda antara 2016 dan 2022.

"Terdapat kira-kira 27 tugas berbeza yang dilakukan oleh pakar radiologi. Satu daripadanya ialah mentafsir imej. Namun mereka juga melakukan perkara lain, contohnya kadangkala mereka perlu memberi ubat penenang.

"Saya mahukan manusia terlibat dalam hal ini. AI membantu dengan beberapa tugas, tetapi untuk yang lain, kita benar-benar memerlukan manusia," katanya.

Brynjolfsson membentangkan data yang menunjukkan bahawa 80 peratus daripada tenaga kerja Amerika Syarikat (AS) mungkin terjejas sebanyak 10 peratus daripada tugas mereka oleh AI, dengan 19 peratus pekerja terutamanya dalam pekerjaan bergaji tinggi, menyaksikan sehingga 50 peratus tugas mereka terjejas.

Beliau menekankan bahawa terlalu banyak CEO dan penggubal dasar memberi tumpuan kepada mengautomasikan pekerjaan, sedangkan potensi sebenar terletak pada mempertingkatkan keupayaan manusia.

"Peluang yang lebih besar adalah untuk menambah baik; gunakan AI untuk meningkatkan apa yang manusia boleh lakukan," katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa AI akan mendorong "transformasi perniagaan yang besar" dalam tempoh sedekad akan datang dan menyeru penggubal dasar untuk bersedia.

UAE menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan dari 15 hingga 17 Oktober di Madinat Jumeirah, Dubai.

Mesyuarat ini menetapkan agenda untuk Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.

Edisi 2024 menghimpunkan lebih 700 peserta dari 80 negara, termasuk pakar, pemimpin perniagaan dan pegawai kerajaan.

-- BERNAMA-WAM

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan