DUNIA > BERITA

Festival Filem Amerika Latin 2024 Berlangsung Dari 25 Okt Hingga 1 Dis, Kini Diadakan Di Kuching

20/10/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Peminat filem di tiga bandar di Malaysia boleh merasai budaya Amerika Latin di layar perak semasa Festival Filem Amerika Latin yang memaparkan filem dari lapan negara, bermula dari 25 Okt hingga 1 Dis ini.

Menurut kenyataan daripada Kumpulan Kedutaan Amerika Latin dan Caribbean (GRULAC) di Malaysia, festival tahun ini akan membuat penampilan sulung di Kuching sambil meraikan edisi ke-22 di Kuala Lumpur dan edisi keempat di George Town, Pulau Pinang.

Festival ini diadakan dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC), yang peminat filem dapat menikmati barisan filem menarik dari Amerika Latin di GSC Mid Valley Megamall, GSC Gurney Plaza dan GSC CityONE Megamall.

“Festival Filem Amerika Latin akan menampilkan filem pelbagai genre seperti komedi, drama dan animasi dari Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico, Peru dan Uruguay, masing-masing dengan jalan cerita yang mengasyikkan,” menurut kenyataan itu.

Ia menambah bahawa Festival Filem Amerika Latin bukan sekadar siri tayangan filem; ia adalah acara yang meraikan kepelbagaian budaya serta menjadi platform untuk memupuk dialog dan kefahaman melalui seni sinema.

Setiap filem dipilih dengan teliti untuk memaparkan tradisi penceritaan yang kaya dan budaya yang penuh warna-warni dari Amerika Latin, menurut kenyataan itu lagi.

Dekan GRULAC, Duta Besar Brazil ke Malaysia Ary Norton de Murat Quintella berkata pengembangan acara melalui penampilan sulungnya di Kuching kali ini menyerlahkan komitmen festival itu                                           untuk menjangkau komuniti yang lebih luas dan meraikan suara unik sinema Amerika Latin.

“Saya menggalakkan semua orang untuk menghadiri festival ini dan menikmati kepelbagaian penceritaan daripada negara kami,” kata Quintella.

Festival ini akan diadakan di GSC Mid Valley Megamall di sini dari 25 Okt hingga 27 Okt, di GSC Gurney Plaza di Pulau Pinang dari 15 Nov hingga 17 Nov dan di GSC CityONE Megamall, Kuching dari 29 Nov hingga 1 Dis.

Kemasukan ke semua tayangan awam adalah percuma mengikut waktu tayangan yang ditetapkan.

Filem yang akan ditayangkan termasuk Mi Obra Maestra (Argentina), O Homem que Copiava/The Man who Copied (Brazil), De Jueves a Domingo (Chile), Los Colores de la Montaña/The Colors of the Mountain (Colombia), La Muerte de un Burócrata/Death of a Bureaucrat (Cuba), Ilusiones S.A (Mexico), Ainbo: Spirit of the Amazon (Peru) dan Temas Propios/Family Album (Uruguay).

Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh didapati di laman Facebook Festival Filem Amerika Latin di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan