DUNIA > BERITA

Kerajaan India Bimbang Ancaman Bom Palsu Terhadap Syarikat Penerbangan Tempatan

21/10/2024 09:33 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan India menyuarakan kebimbangan terhadap siri ancaman bom palsu yang menyasarkan syarikat penerbangan tempatan sejak kebelakangan ini dan berikrar untuk meningkatkan langkah keselamatan penerbangan.

Menteri Penerbangan Awam Ram Mohan Naidu berkata keselamatan syarikat penerbangan adalah keutamaan kerajaan dan langkah sedang diambil untuk meletakkan mereka di sebalik ancaman sedemikian dalam senarai larangan terbang, lapor media tempatan.

Puluhan penerbangan menerima ancaman bom dalam tempoh tujuh hari bermula 14 Oktober, menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan.

Satu penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) dilencongkan ke Kanada minggu lalu, manakala Singapura pada malam 15 Oktober mengerahkan jet pejuang tentera udaranya untuk mengiringi sebuah penerbangan India yang menerima ancaman bom.

Walaupun ancaman itu disahkan sebagai palsu, ribuan penumpang domestik dan antarabangsa menghadapi kesulitan.

"Ia adalah situasi yang sangat sensitif apabila berdepan ancaman seperti ini, terdapat prosedur antarabangsa yang perlu kita ikuti," kata Naidu yang dipetik dalam satu laporan pada Isnin.

Biro Keselamatan Penerbangan Awam India (BCAS) dan Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat yang menyediakan keselamatan di lapangan terbang telah memberi taklimat kepada Kementerian Dalam Negeri India mengenai ancaman baru-baru ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan