DUNIA > BERITA

China Serah Bantuan Perubatan Kepada Lubnan

22/10/2024 04:07 PM

BEIRUT 22 Okt (Bernama-CMG) -- Bantuan perubatan kecemasan daripada China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Lubnan, pada Isnin, sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan negara Tembok Besar itu untuk menyokong rakyat Lubnan.

Sebuah pesawat dengan muatan 3,601 kotak barangan bantuan perubatan yang melibatkan ubat anestesia, tiub intubasi trakea pakai buang, gaun pembedahan dan topeng oksigen, berlepas dari Shanghai dan tiba di Lubnan setelah terbang selama lebih 11 jam.

Duta Besar China ke Lubnan, Qian Minjian dan Menteri Kesihatan Awam Lubnan, Firass Abiad menghadiri majlis penyerahan dan menandatangani sijil penyerahan bahan bantuan itu.

Qian Minjian berkata sebagai rakan sejati Lubnan, China tegas menyokong Lubnan dalam memelihara kedaulatan, keselamatan dan maruah negaranya, dan menentang sekeras-kerasnya sebarang serangan rambang terhadap orang awam.

Firass Abiad pula berkata ini bukan kali pertama China memihak kepada Lubnan.

“Kami (Lubnan) ingat akan bantuan China kepada Lubnan, khususnya bantuan yang disalurkannya kepada Kementerian Kesihatan Awam Lubnan semasa penularan pandemik COVID-19 dan setelah berlakunya letupan di pelabuhan Beirut.

“Kami mengucapkan terima kasih dan menghargai semangat perpaduan yang ditunjukkan China pada masa kritikal itu,” katanya.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan