DUNIA > BERITA

 IMF Kekalkan Ramalan Pertumbuhan Global 2024 Pada 3.2 Peratus, Amaran Ketegangan Geopolitik

23/10/2024 03:04 PM

WASHINGTON, 23 Okt (Bernama-Xinhua) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2024 pada 3.2 peratus, selaras dengan ramalan terdahulu yang dibuat pada Julai, menurut Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terbaharu, lapor Xinhua.

Laporan itu menekankan bahawa tahap ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi global kekal tinggi.

"Kerajaan baharu yang dipilih (kira-kira separuh penduduk dunia telah atau akan mengundi pada 2024) boleh memperkenalkan perubahan ketara dalam dasar perdagangan dan fiskal," menurut laporan itu.

Selain itu, ketidakstabilan pasaran kewangan sepanjang musim panas mencetuskan kebimbangan lama mengenai kelemahan tersembunyi, meningkatkan kekeliruan berhubung pendirian dasar monetari — terutamanya di negara-negara yang berdepan inflasi berpanjangan dan tanda-tanda kelembapan ekonomi.

Laporan IMF turut memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan perdagangan, pelaburan dan aliran bebas idea yang berpotensi mengganggu pertumbuhan jangka panjang, melemahkan daya tahan rantaian bekalan, serta mewujudkan dilema sukar bagi bank pusat.

Dalam satu sidang media, Ketua Ekonomi IMF Pierre-Olivier Gourinchas menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan geopolitik, menyatakan bahawa ia mempunyai dua kesan utama.

"Pertama, sudah tentu jika anda menaikkan tarif, contohnya antara blok yang berbeza, yang akan mengganggu perdagangan, salah agihan sumber, dan menyekat aktiviti ekonomi.

"Selain itu, ketidakpastian yang wujud berikutan dasar perdagangan masa depan turut menjejaskan pelaburan, aktiviti ekonomi, dan penggunaan," kata Gourinchas.

IMF menganggarkan peningkatan tarif dan ketidakpastian dasar perdagangan akan menyebabkan penurunan kira-kira 0.5 peratus dalam output global menjelang 2026, kesan yang signifikan kepada ekonomi dunia.

Laporan WEO juga menyatakan bahawa walaupun pertumbuhan global dijangka kekal stabil, risiko semakin meningkat dan prospek semakin lemah.

Pasaran baharu muncul dan ekonomi sedang membangun dijangka mencatatkan pertumbuhan sekitar 4.2 peratus tahun ini dan tahun depan, didorong oleh prestasi kukuh daripada Asia yang sedang membangun.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan