DUNIA > BERITA

Serangan Pengganas Ke Atas Syarikat Industri Pertahanan Turkiye, 5 Maut 22 Cedera

24/10/2024 09:44 AM

ANKARA/ISTANBUL, 24 Okt (Bernama-Anadolu) -- Dua pengganas yang menyerang kemudahan Turkish Aerospace Industries (TAI) di ibu negara Ankara telah "ditewaskan," manakala lima orang terkorban dan 22 lagi cedera, Agensi Anadolu memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya.

“Malangnya, kita kehilangan lima nyawa, jumlah keseluruhan mangsa yang cedera mencecah 22 orang,” katanya kepada pemberita.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam serangan pengganas itu dengan berkata: "Saya mengutuk serangan keji ini ke atas kemudahan Turkish Aerospace Industries."

Naib Presiden Cevdet Yilmaz turut mengecam serangan itu, dengan menyatakan, “Tindakan keji ini menyasarkan kejayaan Turkiye dalam industri pertahanan."

Menteri Luar Hakan Fidan juga mengecam serangan tersebut, sambil menegaskan bahawa Turkiye akan terus berjuang “terhadap semua elemen pengganas, di dalam dan di luar negara, serta kuasa yang menyokong mereka.”

“Pada masa akan datang, kita akan terus memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara kita dan tidak akan sesekali membenarkan mereka menyasarkan Turkiye, bersama proksi mereka untuk mencapai matlamat ke atas negara kita,” kata Fidan menerusi X.

Menteri Pertahanan Yasar Guler menyuarakan ketegasan Ankara dalam memerangi keganasan.

“Kami tidak akan berhenti sehingga pengganas terakhir ditewaskan, dan kami akan membalas perbuatan ini dengan setimpal. Semua orang akan menyaksikan perkara ini,” kata Guler kepada pemberita.

Yerlikaya menyeru orang ramai agar bergantung kepada kenyataan daripada sumber rasmi untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Menteri Kehakiman negara itu turut mengecam serangan terbabit, dengan menyatakan: "Siasatan dimulakan oleh Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara mengenai serangan khianat ini, dengan seorang ketua pendakwa raya dan lapan pendakwa raya ditugaskan untuk kes ini."

Letupan dan bunyi tembakan kedengaran pada Rabu di kemudahan Turkish Aerospace Industries di daerah Kahramankazan, Ankara.

Menurut laporan, kakitangan syarikat pertahanan itu diarahkan untuk berlindung bagi tujuan keselamatan.

Pasukan keselamatan, jabatan bomba, serta Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) turut dihantar ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan