DUNIA > BERITA

Ketua PBB Ucap Takziah Selepas Serangan Pengganas Di Turkiye

24/10/2024 02:20 PM

HAMILTON (Kanada), 24 Okt (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengucapkan takziah kepada Turkiye susulan serangan pengganas pada Rabu yang menyasarkan ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI) di Ankara.

“Kami masih menunggu maklumat lanjut tetapi mengutuk serangan terhadap orang awam ini.

"Kami menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar semua yang cedera pulih sepenuhnya,” kata Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, bagi pihak Guterres kepada Agensi Anadolu

Semasa sidang media, Haq membacakan kenyataan daripada Guterres yang mengecam serangan pengganas itu.

“Guterres juga menyatakan solidariti PBB bersama rakyat dan kerajaan Turkiye,” katanya.

Menurut Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, lima orang terkorban manakala 22 lagi cedera dalam "serangan keji" itu.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya melaporkan bahawa dua pengganas "ditewaskan" dan menggesa orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi untuk perkembangan lanjut.

Pasukan keselamatan, bomba, dan paramedik dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala kakitangan firma pertahanan diarahkan ke tempat perlindungan atas sebab keselamatan.

Pendakwa raya Ankara melancarkan siasatan terhadap serangan pengganas itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan