DUNIA > BERITA

Lawatan Sulung PM Ethiopia Ke Malaysia Perkukuh Hubungan Dua Hala

24/10/2024 04:44 PM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Lawatan sulung Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia dari 25 hingga 26 Oktober bertujuan meningkatkan usaha bagi memperkukuh hubungan Malaysia dan Ethiopia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Abiy yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ethiopia pada April 2018 akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti oleh mesyuarat dua hala.

"Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala, terutamanya kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

"Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala berkenaan.

"Lawatan rasmi ini akan menambah usaha untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Ethiopia," menurut kenyataan itu.

Abiy akan diiringi oleh Wanita Pertama Zinash Tayachew Bere, Menteri Luar Dr Gedion Timotheos, menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Ethiopia.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023. Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, iaitu peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Ethiopia adalah produk elektrik dan elektronik; minyak sawit dan barangan pertanian berasaskan minyak sawit; bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia serta tekstil, pakaian dan kasut.

Pada 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan