DUNIA > BERITA

PRU: Parti Pemerintah Jepun Hilang Majoriti

28/10/2024 10:19 AM

TOKYO, 28 Okt (Bernama-Kyodo) -- Gabungan parti pemerintah Jepun kehilangan majoritinya di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya umum pada Ahad, memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk mendapatkan sokongan luar bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Walaupun berdepan kekalahan, Ishiba menyatakan komitmennya untuk membentuk kerajaan baharu yang diketuai oleh partinya.

Pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan liberal dan konservatif, turut berdepan cabaran dalam membentuk gabungan kerana perbezaan matlamat dasar, lapor Agensi Berita Kyodo.

Keputusan mengecewakan itu menonjolkan ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah didorong oleh skandal dana politik, menandakan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012.

Ishiba yang kelihatan muram, menyifatkan keputusan itu sebagai "sukar."

"Kami jauh daripada mendapat kepercayaan rakyat" berikutan skandal dana gelap itu," kata Ishiba, walaupun beliau tetap optimis untuk meneruskan agenda gabungan berkenaan.

Keputusannya untuk membubarkan Dewan Rendah hanya lapan hari selepas memegang jawatan pada 1 Oktober dan mengadakan pilihan raya ternyata membawa padah.

Masalah LDP bertambah buruk pada penghujung kempen apabila didedahkan bahawa sebanyak 20 juta yen (US$132,000) diperuntukkan kepada cawangan tempatan yang diketuai oleh calon yang tidak mendapat sokongan dan terlibat dalam skandal.

Pemimpin pembangkang dengan cepat mengecam parti pemerintah kerana menyokong calon-calon itu secara rahsia.

Ketua Komeito Keiichi Ishii yang hanya memegang jawatannya hanya sebulan lalu kehilangan kerusinya, menandakan kekalahan pertama bagi seorang pemimpin Komeito sejak 2009. Parti itu yang disokong oleh pertubuhan Soka Gakkai berfahaman Buddha, melihat jumlah kerusinya merosot daripada 32 kepada sekitar 22.

Selain itu, Menteri Pertanian Yasuhiro Ozato dan Menteri Kehakiman Hideki Makihara turut kehilangan kerusi mereka kepada calon pembangkang.

Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) meraih keuntungan besar dengan memperoleh lebih daripada 140 kerusi, meningkat daripada 98.

"Pengundi memutuskan parti mana yang terbaik untuk memperjuangkan pembaharuan, dan kami mendapat sokongan kerana itu," kata Ketua CDPJ Yoshihiko Noda.

Pemerhati berpendapat LDP mungkin akan menerima semula ahli-ahli yang dinafikan sokongan akibat isu pelaporan pendapatan.

Namun, bekas menteri pendidikan yang terkenal Hakubun Shimomura dan kira-kira separuh daripada 10 calon yang dinafikan sokongan kehilangan kerusi mereka.

Semua calon yang terpaksa bertanding secara bebas mempunyai hubungan yang kuat dengan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang masih mempengaruhi LDP walaupun telah meletak jawatan pada 2020.

Gabungan parti pemerintah mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan sokongan daripada Parti Demokratik Rakyat, yang menambah kerusi mereka daripada tujuh kepada lebih 30. Bagaimanapun, pemimpinnya, Yuichiro Tamaki menolak untuk menyertai gabungan berkenaan. Parti Inovasi Jepun juga ragu-ragu untuk bekerjasama.

Peratusan keluar mengundi dianggarkan pada 53.81 peratus, sedikit lebih rendah daripada pilihan raya 2021, dan mungkin yang ketiga terendah dalam sejarah pasca perang. Rekod 55 ahli parlimen wanita dipilih dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pilihan raya ini, setiap pengundi mengundi dua kali -- sekali untuk calon di kawasan berkerusi tunggal dan sekali lagi untuk parti dalam perwakilan berdasarkan peratusan mengundi. Keputusan akhir dijangka diumumkan pada awal Isnin.

Keputusan itu menjadi cabaran besar buat Ishiba, yang berhasrat membina semula LDP menjelang pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan.

Penganalisis percaya keputusan itu menyebabkan Ishiba tidak mungkin mencapai matlamat utamanya untuk mencadangkan pembaharuan perlembagaan di parlimen, yang memerlukan majoriti dua pertiga sebelum dibawa ke referendum nasional.

-- BERNAMA-KYODO

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan