BANDARAYA GAZA, 29 Okt (Bernama-Anadolu) -- Ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) semakin hampir, belia Gaza sangat mendambakan perubahan dalam pentadbiran AS, berharap ia dapat meringankan penderitaan mereka dan menamatkan apa yang mereka sifatkan sebagai genosid Israel yang kini memasuki tahun kedua.
Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa harapan itu kekal walaupun kedua-dua calon presiden AS menunjukkan sokongan teguh kepada Israel, memaksa pengundi yang menyokong hak rakyat Palestin untuk memilih “lesser of two evils."
Calon Republikan dan bekas Presiden AS Donald Trump menawarkan pendekatan lebih keras, menyokong sokongan Amerika tanpa syarat terhadap Israel, membenarkan negara itu mengambil tindakan yang dianggapnya perlu di bawah apa yang disifatkannya sebagai "hak untuk mempertahankan diri," tanpa sebarang fokus kepada aspek kemanusiaan.
Calon Demokrat dan Naib Presiden AS Kamala Harris turut menyokong apa yang dianggapnya sebagai hak Israel untuk mempertahankan diri terhadap kumpulan Palestin, Hamas." Pada masa yang sama, beliau menekankan "keperluan melindungi orang awam di Gaza."
Harris juga menyatakan sokongannya terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, mendakwa beliau sedang bekerjasama dengan pentadbiran semasa untuk memastikan kestabilan di Gaza selepas perang, termasuk usaha pembinaan semula dan memulihkan tadbir urus Pihak Berkuasa Palestin.
Walaupun pendiriannya kelihatan lebih seimbang berbanding Trump, pendirian pentadbiran Biden mengenai Gaza bertentangan dengan janji-janjinya.
Pentadbiran itu memberikan sokongan penuh ketenteraan, perisikan dan politik kepada Israel di Gaza, dengan rakyat Palestin menuduhnya sebagai rakan kongsi utama dalam genosid Israel sejak 7 Okt tahun lepas.
Namun, dengan tiada pilihan lain, belia di Gaza berharap pilihan raya AS pada 5 Nov akan membawa kepada langkah-langkah yang dapat membantu meringankan penderitaan mereka, menurut kenyataan sebahagian daripada belia itu kepada Anadolu.
PERANAN PROAKTIF
Bagi Ru’a Abu Amra, 15, dia berharap presiden AS yang seterusnya akan memainkan peranan proaktif dalam menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, terutamanya kerana Washington adalah antara penyokong utama pendudukan Israel.
Ru’a yang kehilangan rumah keluarganya di timur Deir al-Balah berkata rakyat Amerika memainkan peranan penting dalam meneruskan genosid terhadap mereka, dan dia percaya presiden baharu mesti berusaha untuk keamanan.
"Saya mempunyai hak untuk belajar dan mencapai impian saya; segala-galanya telah terhenti untuk saya kerana genosid di Gaza.
"Tahun ini, saya sepatutnya memilih laluan pendidikan saya di sekolah menengah, tetapi perang mengganggu segala-galanya, termasuk impian dan cita-cita kami," katanya.
Dia menunjukkan kesan keadaan semasa terhadap kehidupan sehariannya dan penggantungan pendidikan sejak konflik bermula.
"Saya memerlukan pendidikan untuk mencapai cita-cita saya, tetapi yang kami mahu ialah menghentikan konflik dan kembali kepada kehidupan normal," katanya kepada Agensi Anadolu.
Menurut angka yang diterbitkan oleh Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada 15 Okt, genosid Israel telah merampas hak pendidikan kira-kira 785,000 pelajar.
Tentera Israel telah memusnahkan 125 sekolah dan universiti serta sebahagiannya merosakkan 337 institusi pendidikan.
"Saya mahu presiden AS yang baharu menghentikan perang supaya saya boleh pulang ke rumah saya di Bandaraya Gaza," kata Ali Al Deeb yang menyatakan sokongannya terhadap Harris.
Ali, 7, tinggal bersama keluarganya dalam keadaan yang teruk selepas terpaksa berpindah.
"Kami tinggal di dalam khemah dan mahu pulang ke rumah kami. Keadaan di sini sangat sukar. Kami memerlukan makanan, kehangatan dan keselamatan," katanya.
Dia menekankan keperluan untuk membuka lintasan sempadan bagi membolehkan barangan keperluan masuk dan berharap kehidupan dapat kembali normal supaya boleh bermain semula dan kembali ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
'KEHIDUPAN DI KHEMAH MELETIHKAN KAMI'
Issa Al Dabbeh, 13, yang dipindahkan secara paksa dari kawasan perumahan Shejaiya di timur Bandaraya Gaza berharap presiden AS yang baharu memahami penderitaan rakyat Palestin.
"Kami letih hidup di dalam khemah. Saya mahu kembali ke Bandaraya Gaza dan sekolah saya. Lintasan sempadan mesti dibuka untuk membolehkan kemasukan barangan keperluan dan bekalan," katanya.
Dia meluahkan perasaan takut dan tidak selamatnya, mengenang kembali bagaimana kehidupan lebih baik sebelum konflik dan pemindahan secara paksa.
Dia bermimpi untuk kembali ke kehidupan normal di mana dia boleh bermain dengan rakan-rakannya dan pergi ke sekolah.
Rimas Al Haddad, 13, yang dipaksa berpindah dari kawasan perumahan Sabra di Bandaraya Gaza dengan penuh semangat bercakap tentang harapannya untuk kembali ke rumahnya.
"Kami mahu presiden AS yang baharu menghentikan konflik Israel. Kehidupan di dalam khemah dan pemindahan paksa berulang kali telah meletihkan kami.
"Kami menghadapi krisis kesihatan dan alam sekitar, mengalami penyebaran serangga dan tikus, dengan musim panas yang terik dan musim sejuk yang dingin," katanya.
Dia menekankan haknya sebagai seorang kanak-kanak untuk hidup secara normal dan berharap untuk kembali ke sekolah, merasakan bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depannya.
"Saya mempunyai hak untuk belajar dan hidup secara bebas serta selamat. Kami mahu presiden baharu (AS) menyokong perkara ini dan berusaha untuk membawa pulang penduduk kembali ke rumah mereka di Bandaraya Gaza dan utara wilayah ini," tambahnya.
Tentera Israel meneruskan serangan kejam mereka ke atas Gaza sejak Oktober tahun lepas, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut gencatan senjata segera.
Lebih 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta lebih 101,100 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial