DUNIA > BERITA

GPM Malaysia Lancar Rayuan Bantuan Musim Sejuk Untuk Gaza, Syria

31/12/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah melancarkan Rayuan RM1 juta Bantuan Kecemasan Musim Sejuk untuk Syria dan Gaza bagi meringankan krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza dan Syria dengan jutaan orang berdepan keadaan yang mengancam nyawa akibat cuaca musim sejuk yang melampau.

Dalam kenyataan pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Syahrir Azfar Saleh berkata musim sejuk menimbulkan ancaman tambahan kepada penduduk Gaza dan Syria.

Beliau menyatakan bahawa ribuan keluarga, terutamanya kanak-kanak dan warga emas terdedah kepada suhu beku dengan tempat perlindungan dan bekalan keperluan asas yang tidak mencukupi.

"Tanpa bantuan segera, lebih banyak nyawa terancam. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan bantuan seperti selimut, baju musim sejuk, alat pemanas dan bahan api, bekalan makanan serta kit perubatan," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata petugas GPM dijadualkan memulakan misi ke Syria pada 15 Januari 2025, manakala bantuan untuk Gaza akan diuruskan secara langsung oleh Pengurus GPM Gaza Dr Tareq al-Talmas, yang kini berada di lokasi.

GPM menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyokong usaha ini dengan menyumbang kepada Tabung Kecemasan Musim Sejuk Syria dan Gaza melalui https://jomsedekah.com/winteremergency2024/ atau pindahan wang ke akaun Maybank: 5642-2161-1602 dengan rujukan "Winter Emergency."

“Inisiatif ini juga akan dijalankan dengan kerjasama rakan NGO dari negara ASEAN, termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi GPM di talian 03-41443441 atau e-mel ke salam@gpm.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan