DUNIA > BERITA

Pilihan Raya AS: Hujan Dan Ribut Petir Dijangka Jejas Pengundi Di Negeri Penentu

05/11/2024 11:52 AM

WASHINGTON, 5 Nov (Bernama-UPI) -- Pengundi di seluruh Amerika Syarikat bakal menghadapi keadaan cuaca yang berbeza-beza pada hari pilihan raya, termasuk salji dan hujan di barat laut, ribut petir dari Great Lakes hingga ke New Orleans, serta suhu panas yang mencatat rekod di sepanjang pantai timur, lapor United Press International (UPI).

Walaupun keadaan cuaca yang lebih baik dijangka untuk kebanyakan kawasan, pengundi disaran menyediakan kelengkapan hujan di negeri-negeri penentu seperti Michigan, Wisconsin dan barat laut Pennsylvania. AccuWeather meramalkan Ribut Tropika Rafael di Caribbean, yang berkemungkinan menguat menjadi taufan dan berpotensi menjejaskan Florida, Louisiana dan Texas pada akhir minggu ini.

“Dari Louisiana ke Florida, terdapat risiko tinggi kesan ribut tropika pada hujung minggu,” kata Ketua Meteorologi AccuWeather Jon Porter.

Hujan dijangka melanda sebahagian besar Florida pada hari pilihan raya, manakala cuaca buruk dijangka dari Louisiana hingga ke Lembah Ohio bawah, dengan kilat dan hujan lebat.

Di kawasan tengah AS, hujan boleh mencecah sehingga 12 inci di timur laut Oklahoma, tenggara Kansas dan barat daya Missouri.

Pantai timur akan mengalami keadaan cuaca panas dan kering, manakala barat laut bersedia untuk suhu sejuk, hujan dan salji di beberapa kawasan.

Cuaca dijangka mempengaruhi kadar keluar mengundi, kerana keadaan ribut biasanya menghalang pengundi muda dan mereka yang jarang mengundi, menurut Journalist’s Resource.

Namun, Profesor Yusaku Horiuchi dari Kolej Dartmouth menyatakan bahawa jumlah pengundi awal yang tinggi serta politik yang terpolarisasi mungkin dapat mengurangkan kesan cuaca pada hari pilihan raya.

-- BERNAMA-UPI


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan