DUNIA > BERITA

Rantau Asia, ASEAN Dan Asia Barat Dijangka Terima Kesan Susulan Kemenangan Trump

15/11/2024 09:52 AM

Oleh Rohani Ibrahim di Kuala Lumpur dan Iswandi Kasan Anuar di Jakarta

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Ketika seluruh dunia menantikan pengumuman dasar baharu Amerika Syarikat (AS) oleh Kabinet yang bakal dibentuk presiden terpilih Donald Trump, pelbagai ramalan pemerhati antarabangsa mula muncul.

Antara topik yang menjadi perbincangan dan perhatian masyarakat dunia dan penganalisis adalah kesan ekonomi dan geopolitik hasil kemenangan calon Republikan itu ke atas rantau Asia khususnya China, ASEAN yang mewakili hampir keseluruhan Asia Tenggara dan Asia Barat.

Dunia masih ingat semasa Trump menjadi presiden AS bagi tempoh 2017-2021 yang memperjuangkan nasionalisme ekonomi AS dan pendirian “Dahulukan Amerika”, yang secara tidak langsung menimbulkan kesan negatif kepada perdagangan dan geopolitik dunia.

Retorik kempen beliau untuk mengenakan tarif 60 peratus pada produk China yang memasuki AS dan mahu melihat perang di  Gaza dan Ukraine ditamatkan pada kadar segera menimbulkan pelbagai persoalan.      

Geostrategis Prof Azmi Hassan ketika dihubungi  Bernama berpendapat bagi Asia Tenggara, yang rata-ratanya meliputi blok ASEAN, berkata Malaysia mungkin tidak terlalu terkesan secara langsung dengan kemenangan Trump.

Ini kerana Trump tidak memberikan kesan ketara daripada segi ekonomi ekoran pendirian yang telah beliau umumkan sebelum  ini iaitu tarif terhadap semua negara termasuk Malaysia di antara 10 hingga 20 peratus.

 “Namun kepada China secara khusus, tarif yang akan dikenakan adalah 60 peratus ke atas eksport. Ini akan mengekang pertumbuhan ekonomi China, sekali gus memberikan kesan kepada negara lain yang banyak mengeksport produk kepada negara itu termasuk Malaysia.  Kesan ekonomi ini amat berat sekali,” katanya.

Azmi turut meramalkan di bawah pemerintahan Trump sebagai Presiden  ke-47 hubungan AS-China akan menjadi lebih tegang berbanding semasa Presiden Joe Biden, dan ketika Trump menjadi Presiden AS yang ke-45 sebelum ini.

Ini kerana Trump pernah menyatakan komitmen untuk menghukum China dan berkata selepas ini semua syarikat yang berpangkalan di AS tidak dibenarkan beroperasi di negara luar melainkan di negara “Uncle Sam” itu, katanya.

Ditanya mengenai hubungan AS bersama ASEAN dan Malaysia yang bakal mempengerusikan blok itu tahun depan, Azmi berkata pendirian Malaysia yang ingin menyertai BRICS (kumpulan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan dilihat rapat dengan China dan Rusia kemungkinan ‘boleh membawa ASEAN jauh dari AS.’  

“Trump tidak suka BRICS kerana ada ura-ura (BRICS) tidak menggunakan matawang "greenback" dalam urusan ekonomi dunia dan antara janji Trump adalah untuk menaikkan ekonomi AS melalui kekuatan dolar (AS).

"Pemikiran Trump ini dijangka memberi kesan terhadap ASEAN dan Malaysia selaku Pengerusi blok berkenaan tahun depan,” katanya.

Manakala ketika ditanya mengenai nasib bumi Gaza dan Asia Barat di bawah pentadbiran Trump, Azmi berkata Trump memang pernah berjanji untuk menamatkan perang di Gaza namun rancangan itu adalah mengikut acuan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Menurut beliau semasa Trump menjadi presiden sebelum ini beliau telah  memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sedangkan hakikatnya Baitulmaqdis Timur belum ditentukan pemiliknya - Palestin atau Israel.

Tindakan itu bertujuan memberikan justifikasi bahawa seluruh Baitulmaqdis adalah milik Israel. Jadi  Trump lebih memihak kepada Israel berbanding Biden, katanya.

Menurut Azmi, acuan yang dikehendaki Netanyahu adalah utara Gaza 100 peratus dikuasai Israel untuk membangunkan lagi penempatan haram peneroka Yahudi seperti yang berlaku di Tebing Barat, dan kedua ialah pintu masuk Rafah di sempadan Gaza dan Mesir dikawal sepenuhnya Israel.

Beliau turut meramalkan pentadbiran Trump akan cuba menghapus keupayaan Iran memproses uranium untuk membuat bom  nuklear  melalui 'lampu hijau' kepada Israel untuk menyerang loji nuklear di negara itu.

Sementara itu, Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia dan Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun ketika dihubungi turut bersetuju dengan pandangan Prof Azmi mengenai cabaran yang dijangka timbul sepanjang pentadbiran Trump.

Oh menjelaskan bahawa dari segi ekonomi khususnya bagi negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand serta kemungkinan Filipina dan Vietnam, mereka bakal menghadapi banyak ‘halangan’ dalam mengeksport pelbagai barangan ke Amerika Syarikat.

“Trump berazam untuk mengenakan tarif tinggi terhadap rakan mahupun pesaing Amerika. Oleh itu, dalam aspek eksport ke Amerika, saya rasa ia akan terjejas teruk,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Oh, di sebalik kekurangan pasti ada peluang. Ironinya, ini merupakan masa sesuai untuk melabur di Amerika, seperti mendirikan kilang-kilang.

“Saya fikir peraturan akan kurang ketat di bawah pentadbiran Trump kerana beliau mahu mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Amerika dan menjadikan Amerika hebat semula. Itu bermakna beliau mengalu-alukan pelaburan asing ke AS,” katanya.

Oh meramalkan hubungan AS-China akan lebih tegang di bidang ekonomi akibat tarif tinggi ke atas eksport dari China ke AS.

Namun, dari sudut konfrontasi geopolitik dan perbezaan ideologi, beliau percaya Trump tidak akan memberikan perhatian besar.

“Negara-negara di Asia Tenggara (SEA) di bawah pentadbiran Biden dipaksa memilih menyebelahi China atau AS dari segi geopolitik, tetapi tekanan itu akan berkurang di bawah Trump. Jadi, secara ekonomi kita akan berdepan cabaran, tetapi secara geopolitik, ada sedikit kelegaan,” katanya.

Merujuk kepada perkembangan di Timur Tengah di bawah pentadbiran Trump, Oh turut bersetuju dengan Prof Aziz bahawa Trump sangat mesra dengan Netanyahu dalam konflik Israel menentang Palestin, serta isu-isu di Lubnan, Syria, Yaman dan Iran.

“Sudah tentu negara-negara itu perlu berhati-hati kerana pentadbiran Trump akan meningkatkan sokongan kepada Israel dan memihak kepada negara itu,” katanya.

 

PANDANGAN SAMA DIKONGSI OLEH PEGAWAI DAN PENGANALISIS INDONESIA

 

Sementara itu, di Jakarta, penganalisis dan bekas pegawai Indonesia berkongsi pandangan yang sama mengenai kesan daripada kembalinya Trump ke Rumah Putih.

Mereka percaya kemenangan Trump boleh memberi kesan langsung kepada Indonesia, termasuk perubahan dalam dasar perdagangan seperti kajian semula "Generalised System of Preferences" (GSP) dan tarif baharu yang boleh menjejaskan eksport Indonesia ke AS.

Abiyan Dzakwan, penyelidik di CSIS Indonesia menjelaskan bahawa walaupun GSP secara 'di atas kertas' dilihat menguntungkan Indonesia dengan lebihan dagangan, situasi mungkin berbeza.

Cadangan Trump untuk mengenakan tarif universal sebanyak 20 peratus, serta tambahan 60 peratus ke atas China boleh memberi kesan negatif kepada Indonesia kerana hubungan ekonomi yang kukuh dengan China, terutamanya dalam rantaian bekalan global.

Namun, Abiyan optimis bahawa gaya kepimpinan transaksi Trump boleh menguntungkan Indonesia.

"Jika kita bijak memanfaatkan peluang, kita mungkin mendapat apa yang kita mahu atau perlu.

“Tambahan pula, Trump cenderung menyukai pemimpin dengan karakter kuat, jadi di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto yang berkongsi ciri serupa, mungkin akan berlaku rundingan yang lebih baik dengan Trump,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Menyentuh isu Laut China Selatan, bekas Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa turut memberi amaran bahawa pentadbiran Trump boleh meningkatkan ketidakpastian dalam kalangan sekutu AS di rantau ini, terutama berkaitan komitmen keselamatan.

“Sekutu di rantau ini mungkin terdorong untuk membangunkan keupayaan pertahanan sendiri, termasuk teknologi peluru berpandu dan keselamatan maritim,” katanya seperti dilaporkan BBC News Indonesia, sambil menambah bahawa ini boleh mencetuskan kitaran ‘tindak balas’ yang meningkatkan risiko konflik.

Secara keseluruhan, kebimbangan terbesar dalam kalangan penganalisis di Asia Tenggara adalah kemungkinan pentadbiran Trump menunaikan retorik kempen, yang akan mencetuskan kesan ekonomi dan geopolitik di seluruh dunia.

Walaupun beberapa negara, termasuk Malaysia dan Vietnam mungkin mengalami kesan daripada dasar Trump, perubahan dalam hubungan AS-China boleh menyebabkan kerugian ekonomi yang besar jika ketegangan berlarutan hingga mencetuskan konflik yang lebih meluas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan