Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Dengan hanya beberapa jam sebelum rakyat Amerika Syarikat (AS) keluar mengundi, tumpuan dunia termasuk di Malaysia, kini terarah kepada perebutan jawatan presiden antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Presiden Donald Trump.
Persaingan antara Harris, 60, dan Trump, 78, telah menarik minat penonton global yang menyedari bahawa pemilihan presiden AS akan memberikan kesan besar terhadap hubungan ekonomi, keselamatan, dan diplomatik di peringkat antarabangsa.
Media antarabangsa menggambarkan pilihan raya ini sebagai titik perubahan, bukan sahaja untuk AS tetapi juga untuk dunia secara keseluruhan.
BBC dalam liputan langsungnya melaporkan bahawa pilihan raya kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit, dengan margin perbezaan undi yang tipis menerusi hasil tinjauan di negeri-negeri penentu “swing states”.
“Saya telah lama membuat liputan politik Amerika, dan saya tidak pernah melihat pilihan raya presiden yang sengit seperti ini. Esok, keputusan tinjauan tidak lagi relevan. Rakyat Amerika akan menentukan pilihan mereka – dan jangan terkejut jika terdapat kejutan,” kata wartawan BBC, Anthony Zurcher.
Al Jazeera pula melaporkan perspektif yang lebih luas, membincangkan pilihan raya AS di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku di Gaza.
Reuters, dengan tajuk utama “Trump, Harris make final pitch in Pennsylvania on eve of historic US vote,” menyoroti kempen akhir berisiko tinggi di satu daripada negeri utama.
“Pilihan raya kali ini penuh dengan kejutan dramatik, termasuk dua cubaan pembunuhan dan sabitan jenayah terhadap Trump, serta pencalonan mengejut Harris selepas Biden menarik diri.
“Pennsylvania, yang memegang jumlah besar undian Kolej Elektoral di antara negeri-negeri ‘swing states’, telah menjadi fokus utama dengan kedua-dua calon mengumpul sokongan saat akhir menjelang Hari Pengundian,” menurut laporan itu.
Laman sesawang France 24 pula menekankan kepentingan hari pilihan raya sebagai peristiwa penting yang boleh mengubah Kongres AS.
Laporan itu menyebut bahawa pada 5 Nov, pengundi bukan sahaja akan memilih antara Kamala Harris dan Donald Trump sebagai presiden tetapi juga akan mengundi kerusi Kongres utama, gabenor, referendum, dan pegawai-pegawai tempatan.
“Kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan dipertandingkan, bersama 34 kerusi Senat, yang berpotensi menentukan parti mana yang akan menguasai Kongres.
“Ribuan jawatan tempatan, termasuk datuk bandar, hakim, dan sherif, juga akan diundi,” menurut laporan ringkas itu.
Saluran berita yang berpangkalan di Singapura, Channel NewsAsia (CNA) menyoroti bahawa keputusan pengundian mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diumumkan dalam pemilihan yang dijangka sangat ketat.
“Dengan persaingan yang begitu sengit kali ini, pakar melihat risiko kelewatan dan komplikasi, seperti cabaran undang-undang terhadap kiraan undi,” menurut laporan itu.
Tatkala AS menghampiri hari pengundian, dunia memerhati dengan penuh debaran, sedar bahawa keputusan ini akan bergema selama bertahun-tahun akan datang.
Undian bersejarah ini bukan sahaja mengenai pelantikan jawatan presiden, tetapi juga menentukan arah tuju politik global pada abad ke-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial