Pengurus Syarikat Didakwa Guna Mesin Cetak Tanpa Lesen, Terbit Bahan Lucah

15/11/2024 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen dan menghasilkan penerbitan bahan lucah menggunakan mesin cetak, Jun lepas. 

Chin Chiang Swee, 44, didakwa menggunakan mesin cetak tanpa lesen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah syarikat percetakan di Desa Tun Razak, Cheras di sini pada 10 pagi, 21 Jun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Beliau juga didakwa menghasilkan penerbitan bahan lucah dengan menggunakan mesin cetak di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 4(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pegawai Pendakwa daripada KDN Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga. 

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Jan 2025 untuk sebutan kes. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan