BUSAN, 2 Dis (Bernama-CMG) -- Sesi kelima Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC-5) mengenai Pencemaran Plastik melabuh tirainya di sini pada malam Ahad.
Rundingan berkenaan akan diteruskan berikutan mesyuarat selama seminggu itu gagal mencapai perjanjian bertulis konvensyen antarabangsa mengenai pencemaran plastik, seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media China selepas mesyuarat itu, ketua delegasi China yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China, Zhou Guomei berkata bahawa China bersedia untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menggalakkan konvensyen itu mencapai perjanjian bertulis dengan seawal mungkin.
“China yang merupakan satu daripada negara yang paling awal mengambil langkah kawalan terhadap produk plastik pakai buang, sangat peka akan rawatan dan kawalan pencemaran plastik.
“Semasa rundingan kali ini berlangsung, pihak China telah memainkan peranan yang proaktif dan membina dalam memberi cadangan penyelesaian terhadap isu-isu yang dipertikaikan.
“Walaubagaimanapun, kita juga perlu menyedari bahawa penyelesaian masalah pencemaran plastik yang sangat rumit dan melibatkan pelbagai aspek dalam pengeluaran dan kehidupan perlu dijalankan dengan mempertimbangkan secara komprehensif pelbagai segmen termasuk pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan sisa-sisa, serta kesan yang meluas terhadap pelbagai industri dan kehidupan penduduk,” katanya.
Zhou menambah China berpendapat, rundingan mengenai perjanjian bertulis konvensyen itu perlu dijalankan dengan memberi tumpuan kepada pencemaran plastik, menjaga dengan baik hubungan antara kawalan punca pencemaran dengan rawatan berikutnya pada bahagian hilir secara objektif dan pragmatik, selain menghormati sepenuhnya ekosistem dan keupayaan yang berbeza di pelbagai negara, dan terutamanya mempertimbangkan cabaran yang dihadapi oleh negara membangun dalam realiti sekarang.
“Walaupun rundingan di Busan kali ini gagal memuktamadkan perjanjian bertulis, namun China bersedia terus memainkan peranan proaktif dan membina serta bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mendorong rundingan terbabit mencapai kemajuan dalam memperjuangkan matlamat itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial