DUNIA > BERITA

PM THAILAND PAETONGTARN SHINAWATRA LAKUKAN LAWATAN RASMI KE MALAYSIA

15/12/2024 02:55 PM

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra akan melakukan lawatan rasmi pertama ke Malaysia pada Isnin (16 Dis) bagi menghadiri mesyuarat Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 bagi meneroka potensi kerjasama baharu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar berkata lawatan itu merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak memegang tampuk Kerajaan pada Ogos 2024, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Paetongtarn akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar.

“Kedua-dua pemimpin juga akan mempengerusikan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 (AC). Kenyataan Akhbar Bersama akan dikeluarkan selepas AC itu.

“Semasa AC ke-7, kedua-dua Perdana Menteri dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu.

"Perbincangan juga akan merangkumi pandangan terhadap isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, mencerminkan komitmen untuk kerjasama erat sebagai rakan ASEAN.

“Lawatan ini akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan lama antara kedua-dua negara jiran ini,” menurut kenyataan itu.

Seusai AC ke-7, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu MoU mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan; dan MoU mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi. 

Kementerian Luar berkata lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan di peringkat pemimpin tahun ini, susulan lawatan kerja Anwar dan bekas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang pada 3 Ogos tahun ini.

Pada tahun 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (USD24.83 bilion).

Thailand kekal sebagai rakan dagangan utama bagi Malaysia, menduduki tempat keenam terbesar di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan ASEAN pada 2023, dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan