DUNIA > BERITA

MALAYSIA PERCEPAT PERALIHAN KE ARAH STATUS NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI

16/12/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama-VNA) -- Kerajaan Malaysia perlu memberi tumpuan kepada inovasi semasa merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030 dalam usaha mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).  

Benedict Weerasena, seorang pakar ekonomi di Institut Penyelidikan Bait Al-Amanah berkata rancangan pembangunan ekonomi terkini menumpukan kepada pembaharuan transformasi untuk meningkatkan daya saing global, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berdasarkan pembangunan industri.  

Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia perlu memupuk inovasi dalam RMK13 termasuk memperkuat sumber sedia ada, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju, serta memperluas kerjasama antarabangsa.  

Beliau juga berpendapat bahawa Malaysia memerlukan lebih banyak perusahaan berskala besar yang mampu menyepadukan sektor eksport serantau dan global secara mendalam.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha mengurangkan birokrasi dan mempercepat kelulusan projek untuk meningkatkan kecekapan sektor awam.  

Antara inisiatif utama termasuk Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilancarkan pada 16 Ogos, dan inisiatif ILTIZAM perkhidmatan awam yang dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2025 bagi memotivasikan penjawat awam serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan.  

Beliau berpendapat, satu lagi pembaharuan kritikal adalah melibatkan penstrukturan semula subsidi penjagaan kesihatan.

 Golongan berpendapatan tinggi perlu menyumbang lebih banyak untuk menangani ketidaksamaan dalam sistem semasa, di mana isi rumah berpendapatan sederhana dan tinggi hanya membayar RM1 bagi perkhidmatan pesakit luar di hospital awam. 

Weerasena mencadangkan penggunaan pangkalan data seperti kad pengenalan MyKad, rekod cukai, dan pendaftaran kebajikan untuk membangunkan dasar yang adil dan berasaskan data.  

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk memuktamadkan RMK13 menjelang April 2025 dan membentangkannya di Parlimen pada Julai tahun sama.

Rancangan ini adalah penting bagi menandakan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi.  

-- BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan