DUNIA > BERITA

Media Turkmenistan Lawat Bernama Menjelang Lawatan Rasmi Presiden Ke Malaysia

18/12/2024 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Delegasi media dari Turkmenistan mengadakan kunjungan hormat ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Rabu, menjelang lawatan rasmi Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov ke Malaysia yang dijadualkan pada 18-19 Dis. 

Delegasi itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi Agensi Berita Negara Turkmenistan, Sahetmyrat Kakyshev dan disertai ketua pengarang daripada beberapa organisasi media terkemuka Turkmenistan.

Antara yang hadir termasuk Ketua Pengarang akhbar Türkmenistan Kakamyrat Rejepov, Ketua Pengarang akhbar Neutral Turkmenistan Mayya Alimova, Ketua Pengarang akhbar Watan Tavus Kakayeva dan Ketua Pengarang majalah Dünýä Edebiýaty Rahmet Gylyjov.

Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj mengalu-alukan kehadiran delegasi di ibu pejabat agensi berita itu. 

Arul Rajoo berkata, antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah potensi pertukaran berita dan meneroka kerjasama lebih lanjut dalam pelbagai bidang, termasuk menyediakan liputan komprehensif mengenai ASEAN kepada media Turkmenistan, dengan Malaysia akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025. 

"Pada masa ini, kami tidak mempunyai sebarang pertukaran berita dengan Turkmenistan.

“Namun, kami mempunyai perjanjian pertukaran dengan negara-negara Asia Tengah dan bekas negara Kesatuan Soviet. Kami mengambil peluang ini untuk menjalin hubungan dengan media Turkmenistan,” katanya. 

Kakyshev pula menyuarakan harapannya agar pertemuan itu memberi dorongan untuk pertemuan akan datang dan membantu mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara. 

Turut hadir ialah Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Ravichandran DJ Paul, Ketua Penyiaran Bahagian Penyiaran TV dan Radio Mohd Shukri Ishak, Ketua TV Norhamzeela Md Hambali serta Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Mohd Isa. 

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama media dengan Turkmenistan sebagai sebahagian daripada hubungan dua hala yang lebih erat.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkmenistan dimeterai secara rasmi pada 1992. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan