DUNIA > BERITA

Jepun Perkukuh Hubungan Strategik Dengan Malaysia

09/01/2025 06:00 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Jepun, sebagai pelabur lama di Malaysia bakal memperkukuh kerjasama ekonomi dengan memperluaskan kolaborasi dalam sektor utama seperti transformasi hijau, pembangunan nadir bumi dan daya tahan rantaian bekalan, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara.  

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dalam artikel eksklusif yang dikongsi bersama Bernama sempena lawatannya ke Malaysia menekankan hubungan ekonomi yang kukuh dan pertumbuhan bersama yang telah lama terjalin antara Jepun dan Malaysia.  

“Dalam bidang ekonomi, Jepun telah lama menjadi antara rakan pelaburan dan perdagangan utama Malaysia dan kedua-dua negara telah mencatatkan pertumbuhan bersama.  

“Hari ini, LNG (Gas Asli Cecair) dan semikonduktor buatan Malaysia menjadi keperluan penting dalam kehidupan harian di Jepun,” tulisnya.  

Mengenang sejarah kolaborasi yang erat, Ishiba turut menghargai sokongan kritikal Malaysia selepas Gempa Bumi Besar Timur Jepun pada 2011.  

“Saya tidak akan lupa bagaimana sejurus selepas Gempa Bumi Besar Timur Jepun pada 2011, Petronas dengan cepat membekalkan LNG ke kawasan bencana pada waktu bekalan dan permintaan LNG di Jepun sedang meruncing,” katanya.  

Ishiba berkata prinsip kemampanan dan daya cipta dalam dasar Malaysia MADANI selari dengan nilai yang dikongsi kedua-dua negara.  

“Sepanjang lawatan ini, saya berhasrat untuk merealisasikan kemajuan hubungan ekonomi Jepun-Malaysia, dengan mengambil kira bidang-bidang kerjasama baharu termasuk meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dan unsur nadir bumi,” katanya.  

Menangani cabaran penting seperti nyahkarbon dan peralihan tenaga di Asia Tenggara, Ishiba menekankan kepentingan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama.  

“Bersama Malaysia, yang menyasarkan mencapai neutral karbon menjelang 2050, kita akan bekerjasama untuk mencapai penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi, dan keselamatan tenaga secara serentak melalui inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC),” katanya.  

Beliau turut menyentuh tentang Mekanisme Pengkreditan Bersama (JCM) dalam memajukan usaha kemampanan, dan berharap dapat mempercepatkan perbincangan serta menandatangani perjanjian JCM dengan Malaysia dalam masa terdekat.  

“JCM akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di kedua-dua negara melalui penggunaan teknologi nyahkarbon terkemuka dan penciptaan kredit karbon,” katanya.  

Mengakui cabaran banjir yang semakin meningkat di Malaysia, Ishiba menyatakan kesediaan Jepun untuk berkongsi kepakaran dalam kawalan banjir dan pengurangan risiko bencana.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan