DUNIA > BERITA

Jepun Catat 70 Juta Kes Covid, 130,000 Kematian Sepanjang Lima Tahun

14/01/2025 10:34 PM

TOKYO, 14 Jan (Bernama-Kyodo) -- Genap lima tahun sejak kes pertama COVID-19 disahkan di Jepun, data kerajaan menunjukkan lebih 70 juta rakyat dijangkiti virus itu sehingga Mac tahun lalu, manakala jumlah kematian mencecah 130,000 sehingga Ogos, lapor Agensi Berita Kyodo.  

Walaupun kadar kematian tahunan menurun selepas lonjakan varian Omicron pada 2022, angka kematian kekal jauh lebih tinggi berbanding influenza. Virus ini terus menular secara bermusim pada musim panas dan musim sejuk.  

Profesor penyakit berjangkit di Universiti Tokyo, Yuki Furuse berkata pembangunan pesat vaksin yang berkesan, bersama langkah pencegahan lain membantu mengurangkan simptom wabak.

“COVID-19 akan terus memberi beban kepada masyarakat. Usaha untuk mengurangkan beban itu, termasuk mewujudkan sistem kawalan jangkitan asas mesti diteruskan,” katanya.  

Ujian darah yang dijalankan oleh kementerian kesihatan pada Mac tahun lalu di 22 daripada 47 wilayah Jepun mendapati 60.7 peratus penduduk memiliki antibodi yang menunjukkan jangkitan COVID-19 sebelumnya.

 Berdasarkan populasi Jepun sekitar 120 juta, sekurang-kurangnya 73 juta orang dipercayai telah dijangkiti sekurang-kurangnya sekali.  

Statistik populasi menunjukkan jumlah kematian berkaitan COVID dari 2020 hingga Ogos 2024 adalah sekitar 132,000, berbanding 3,600 kematian akibat influenza dalam tempoh yang sama.  

Selepas COVID-19 dikategorikan setara dengan influenza bermusim pada Mei 2023, kerajaan berhenti mengeluarkan data harian bagi kes baharu, dengan laporan hanya diperoleh daripada 5,000 institusi perubatan terpilih.    

Walaupun jumlah kematian COVID-19 di Jepun lebih rendah berbanding banyak negara maju lain, impak pandemik meluas, termasuk penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kes bunuh diri.  Sekatan terhadap lawatan masih diteruskan di sesetengah hospital dan pusat jagaan, sementara kelonggaran aktiviti sosial menyumbang kepada penularan jangkitan virus dan bakteria seperti influenza dan pneumonia mikoplasma.  

Bagi memanfaatkan pengajaran daripada pandemik COVID-19, sebuah organisasi baharu berasaskan model Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat akan ditubuhkan pada April untuk menasihati kerajaan mengenai wabak penyakit berjangkit utama pada masa hadapan.  

-- BERNAMA-KYODO  

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan