Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 11 Jan (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto mempelawa Jepun untuk mengambil bahagian dalam program perindustrian negara itu dengan memberi penekanan kepada industri hiliran semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, pada Sabtu.
Pertemuan di Istana Presiden Bogor, Jawa Barat itu diikuti sesi dua hala bersama menteri dan pegawai kanan dari kedua-dua negara, membincangkan pelbagai topik termasuk isu geopolitik serantau dan global.
Dalam kenyataan bersama yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Sekretariat Presiden, Prabowo menekankan minat Jepun untuk menyokong program Makanan Berkhasiat Percuma Indonesia, berdasarkan kepakarannya selama 80 tahun dalam bidang itu.
Program yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan untuk meningkatkan pemakanan wanita hamil, kanak-kanak, murid sekolah, dan individu berisiko kekurangan zat makanan bagi menyokong generasi masa depan negara.
Kedua-dua pemimpin turut meneroka cara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, daya tahan tenaga, pembangunan perindustrian, pertanian, sumber manusia dan kesihatan.
Bidang lain yang berpotensi untuk kerjasama masa depan, termasuk keselamatan makanan, hal ehwal maritim, tenaga dan perikanan.
"Lawatan ini menekankan komitmen kukuh kedua-dua negara untuk memperdalam perkongsian strategik komprehensif mereka," kata Prabowo, menegaskan semula matlamat bersama mereka untuk meneroka peluang baharu dalam kerjasama dua hala.
Ishiba dan isterinya, Yoshiko Ishiba tiba di Indonesia pada Jumaat untuk lawatan rasmi dua hari selepas mengunjungi Malaysia, menandakan lawatan dua hala pertama beliau sejak memegang jawatan perdana menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial