DUNIA > BERITA

Dunia Zahir reaksi Positif Terhadap Gencatan Senjata Gaza

16/01/2025 07:36 PM

(mengolah intro)

 

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah menimbulkan keyakinan berhati-hati dan secebis harapan, ketika pemimpin dunia dan tokoh awam mengiktiraf kepentingannya sambil menggesa kewaspadaan dan usaha berterusan untuk keamanan yang berkekalan.

Gencatan senjata yang dijadualkan bermula pada Ahad ini diumumkan pada petang Rabu oleh Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman. Gencatan senjata ini bertujuan menghentikan konflik yang telah berlangsung selama 15 bulan dan difasilitasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS), dengan tempoh gencatan awal 42 hari.

The Times, sebuah akhbar harian dari Britain, melaporkan bahawa pemimpin global telah menyatakan harapan mereka agar gencatan senjata ini membawa kepada keamanan yang kekal, dengan ramai yang menyeru agar bantuan kemanusiaan diberikan dan memberi tumpuan kepada penyelesaian dua negara.

Presiden AS Joe Biden, mengalu-alukan gencatan senjata itu, menyifatkan rundingan tersebut sebagai antara yang paling mencabar yang pernah dialaminya, menurut Reuters.

Dalam satu kenyataan di Rumah Putih, Biden juga menekankan implikasi perjanjian yang lebih luas, dengan berkata: "Bagi rakyat Palestin, sebuah jalan yang kukuh dan boleh dipercayai menuju kepada kewujudan negara sendiri. Dan bagi rantau ini, masa depan normalisasi, integrasi Israel dan semua jiran Arabnya, termasuk Arab Saudi."

Sementara itu, Presiden terpilih AS Donald Trump, dalam satu ciapan di platform Truth Socialnya, berkata: "Kami mempunyai perjanjian untuk tebusan di Timur Tengah. Mereka akan dibebaskan tidak lama lagi. Terima kasih!".

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, turut mengalu-alukan perjanjian itu.

"PBB sedia menyokong pelaksanaan perjanjian ini dan meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berterusan kepada ramai rakyat Palestin yang terus menderita.

"Gencatan senjata ini mesti menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang ketara untuk menyampaikan bantuan di seluruh Gaza agar kita dapat menyokong peningkatan besar dalam sokongan kemanusiaan menyelamatkan nyawa segera," kata Guterres menurut Reuters.

Agensi Anadolu (AA) yang berpangkalan di Ankara melaporkan bahawa bekas pemain bola sepak antarabangsa Jerman, Mesut Ozil, menggambarkan perjanjian gencatan senjata ini sebagai "sebuah sinar harapan untuk rantau itu."

Dalam satu ciapan di akaun Xnya, Ozil menyatakan harapan agar perjanjian itu memberi manfaat kepada rakyat Palestin dan membuka jalan bagi keamanan yang kekal, sambil mengenang invididu yang terkorban dan berdoa untuk pemulihan yang cedera.

Al Arabiya English melaporkan bahawa pelbagai pemimpin dunia memberi reaksi terhadap perjanjian gencatan senjata dan tebusan itu, menyatakan harapan untuk penyelesaian yang kekal bagi konflik tersebut.

Al Jazeera menyatakan bahawa perjanjian ini turut merangkumi bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan untuk rakyat Gaza berikutan serangan berterusan Israel selama berminggu-minggu.

Walaupun komuniti antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai langkah positif ke arah keamanan, situasi masih rapuh, dengan kejayaan pelaksanaan perjanjian ini menjadi kunci untuk kestabilan yang berterusan di rantau itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan