KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia menyambut baik perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menggesa semua pihak yang terlibat komited sepenuhnya terhadap pelaksanaannya.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis berkata perjanjian itu merupakan perkembangan yang amat diperlukan dan langkah pertama penting ke arah menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza yang mengorbankan banyak nyawa, kemusnahan meluas, serta penderitaan yang amat besar bagi rakyat Palestin.
“Gencatan senjata ini akan membolehkan penghantaran baharu bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin di Gaza, terutamanya semasa musim sejuk yang sangat mencabar ini,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut memuji Mesir, Qatar, Amerika Syarikat (AS) serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen dalam mencapai perjanjian itu.
“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.
Kementerian Luar Malaysia yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra juga menegaskan solidariti teguh Malaysia dengan Palestin, menekankan kepentingan perpaduan antarabangsa untuk mendesak penyelesaian kekal kepada satu daripada konflik paling lama berlarutan di dunia.
"Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah," kata Wisma Putra.
Dalam mengalu-alukan perkembangan itu, Kementerian Luar Indonesia menekankan pelaksanaan segera dan menyeluruh perjanjian itu untuk menghentikan kehilangan nyawa di Gaza.
“Indonesia menekankan kepentingan membina semula kehidupan penduduk di Gaza melalui akses penuh kepada penghantaran bantuan kemanusiaan,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di akaun X rasminya pada Khamis.
Kementerian Luar Indonesia turut menyeru pemulihan peranan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta sokongan terhadap pembinaan semula Gaza.
Kementerian itu seterusnya menegaskan bahawa keamanan berkekalan di Palestin tidak dapat dicapai tanpa berakhirnya pendudukan Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Ini hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara, berdasarkan parameter yang dipersetujui di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Media antarabangsa melaporkan bahawa Hamas dan Israel telah mencapai perjanjian gencatan senjata, menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza.
Qatar yang bertindak sebagai pengantara dalam perjanjian yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, termasuk fasa 42 hari dengan pembebasan 33 tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Gencatan senjata itu dijadual bermula pada Ahad, 19 Jan, menurut Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani pada Rabu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial