Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Ketika Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, Korea Selatan menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Malaysia untuk memandu blok itu ke arah mencapai matlamat strategik jangka panjang sambil memupuk keamanan, ketahanan dan keterangkuman serantau.
Timbalan Menteri Luar Korea Selatan Chung Byung Won menekankan kepentingan sejarah Malaysia dalam ASEAN, merujuk sumbangannya kepada pencapaian penting seperti pelancaran Sidang Kemuncak Asia Timur pada 2005 dan penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015.
“Malaysia, sebagai anggota pengasas ASEAN, telah memainkan peranan penting dalam kerjasama ASEAN dan menunjukkan kepimpinan yang signifikan,” kata Chung kepada Bernama.
Beliau menyatakan demikian dalam temu bual bertulis eksklusif bersama Bernama sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) dari 18 hingga 19 Jan di Langkawi, Kedah.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan datang merupakan peluang kritikal bagi Malaysia untuk mengemudi blok itu ke arah strategi yang padu dan berpandangan jauh untuk dua dekad akan datang.
“Kami berharap Malaysia akan menunjukkan kepimpinan intelektual dan institusi dalam membimbing ASEAN ke arah hala tuju strategik organisasi ini untuk 20 tahun akan datang,” katanya.
Dalam nada yang sama, Chung memuji visi Malaysia MADANI kerana selari dengan tema ASEAN 2025 iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan."
“Adalah mengagumkan melihat visi Malaysia MADANI sejajar dengan tema tahun ini iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan.' Korea Selatan komited untuk menyokong sepenuhnya Malaysia dalam mencapai matlamat yang digariskan di bawah tema ini,” tambah beliau.
Chung turut merujuk kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara Korea Selatan dan ASEAN, yang telah dipertingkatkan tahun lepas, sebagai asas kepada kerjasama lebih mendalam di bawah kepimpinan Malaysia.
“Kami amat teruja Malaysia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN ketika kami memulakan tahun pertama perkongsian baharu ini. Di bawah Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI), dasar serantau Korea Selatan yang disesuaikan khusus untuk ASEAN, pelbagai inisiatif dan projek sedang dilaksanakan,” katanya lagi.
Chung turut menjelaskan bahawa inisiatif itu merangkumi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN dan sejajar dengan keutamaan serantau termasuk keamanan, ketahanan dan keterangkuman.
“Secara khusus, kami telah melancarkan beberapa projek perdana untuk jangka masa panjang bagi menangani isu utama seperti inovasi digital dan perubahan iklim serta memperluaskan peluang biasiswa kepada bakat muda ASEAN,” katanya sambil menegaskan komitmen Korea Selatan dalam memupuk pembangunan mampan dan kestabilan serantau.
Korea Selatan memulakan hubungan dialog sektoral dengan ASEAN pada November 1989 dan telah dianugerahkan status Rakan Dialog Penuh pada Mesyuarat Menteri ASEAN ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial