DUNIA > BERITA

Skala Industri Pembuatan China Kekal Kedudukan Teratas Di Dunia Selama 15 Tahun

22/01/2025 01:23 PM

BEIJING, 22 Jan (Bernama-CMG) -- Skala industri pembuatan China kekal menduduki tangga teratas di dunia selama 15 tahun berturut-turut, menyaksikan nilai tambah industri berskala besar bagi 2024 menokok 5.8 peratus tahun ke tahun, iaitu 1.2 mata peratusan lebih tinggi berbanding 2023.

Angka itu disiarkan menerusi sidang media mengenai "prestasi pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi di China" anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara di sini, pada Selasa.

Menurut data statistik, sektor industri dan teknologi maklumat berperanan sebagai pemangkin dengan kadar sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi mencecah 40 peratus.

Pada 2024, terdapat 39 daripada 41 kategori utama dalam sektor perindustrian mengekalkan momentum peningkatannya, antaranya termasuk industri elektronik, logam bukan ferus, industri kimia dan automobil menyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan pengeluaran industri.

Bagi tempoh sama, nilai tambah industri pembuatan peralatan berskala besar meningkat 7.7 peratus, dengan kadar sumbangan sebanyak 46.2 peratus kepada pertumbuhan semua industri berskala besar.

Pada masa sama, keupayaan inovasi dalam pembuatan peralatan canggih dan kecerdasan buatan (AI) terus ditingkatkan, manakala sektor baharu muncul seperti bahan baharu, biopembuatan dan robotik pula menyaksikan lonjakan yang pesat.

Disokong oleh pelaksanaan dasar untuk mempromosikan pembaharuan peralatan dan penggantian barang pengguna lama dengan yang baharu dalam skala yang besar, pelaburan dalam pembelian kelengkapan dan peralatan turut menokok 15.7 peratus tahun ke tahun, sekali gus menjana pertumbuhan keseluruhan pelaburan sebanyak 2.2 mata peratusan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan