EKONOMI > BERITA

PMKS Perlu Capai Sasaran Sumbang 41 Peratus KDNK, Eksport 15 Peratus Tahun Ini - Ewon

22/01/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara masih belum mencapai sasaran ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah eksport itu perlu mencapai sasaran masing-masing 41 peratus dan 15 peratus pada 2025.

Berdasarkan pencapaian prestasi bagi 2023, katanya, kadar pertumbuhan PMKS telah mencatat nilai positif iaitu lima peratus dengan sumbangan sebanyak 39.1 peratus atau RM613.1 bilion kepada KDNK manakala jumlah eksport PMKS sebanyak 12.2 peratus atau RM152.2 bilion. 

“Koperasi pula menjana perolehan sebanyak RM64.6 bilion dan memiliki aset bernilai RM165.9 bilion. Namun, pencapaian ini masih di bawah sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi 2025 di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Datuk Seri R. Ramanan dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas selanjutnya, Ewon berkata susulan angka pencapaian semasa masih di bawah sasaran, pihaknya sedang merancang beberapa langkah strategi yang mampu memberi impak lebih besar kepada sektor keusahawanan negara.

Bagi koperasi pula, beliau berkata walaupun sasaran RM60 bilion dicapai lebih awal, cabaran lebih penting adalah untuk koperasi mengekalkan pencapaian dan meningkatkan lagi jumlah perolehan berkenaan kepada nilai lebih optimum, selaras dengan inisiatif dan intervensi yang telah dilaksanakan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga, kata Ewon, mempunyai sasaran-sasaran penting perlu dicapai pada penghujung RMK-12 yang berakhir tahun ini seperti peningkatan pertumbuhan KDNK, eksport dan produktiviti PMKS dan perolehan koperasi.

Pada majlis itu, Ewon turut melancarkan dokumen Perancangan Strategik Kementerian Tahun 2025 bertemakan ‘Transformasi Melonjak Prestasi’ dengan mensasarkan tiga objektif utama termasuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara.

Bagi merealisasikan objektif disasarkan, sebanyak 21 strategi, lima pemboleh daya dan 196 aktiviti, termasuk 20 program perdana serta enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah dirangka di bawah perancangan itu, katanya.

“Ini merangkumi merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran di mana pelaksanaan kesemua program dan projek yang dirancang akan memanfaatkan 508,498 usahawan dan bakal usahawan serta koperasi,” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Ewon berkata sebanyak 333,653 usahawan dan koperasi telah mendapat bantuan akses pembiayaan, termasuk pembiayaan mikro-kredit dan geran keusahawanan serta pinjaman mudah melibatkan pembiayaan berjumlah RM9.58 bilion pada tahun lepas berbanding RM9.54 bilion pada 2023.

KUSKOP juga menyasarkan pembiayaan lebih besar kepada usahawan pada tahun ini, ditambah dengan penganjuran acara-acara berkaitan kepengerusian ASEAN.

“Kita akan melipatgandakan usaha kita untuk menaikkan skala perniagaan ini daripada bersaiz kecil kepada sederhana dengan sasaran sehingga lima peratus daripada jumlah pertumbuhan perniagaan pada 2027. Sehubungan itu, kita perlu menyediakan modal diperlukan usahawan-usahawan ini,” katanya.

Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada agensi pembiaya KUSKOP iaitu TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang masing-masing mencatat pengurangan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada dua digit kepada satu digit pada 2024. 

“Kadar NPL TEKUN sebelum ini lebih 12 peratus lebih dan kita telah turunkan kepada 9.8 peratus.

“AIM pula telah mencapai kejayaan terbaik sejak 28 tahun penubuhannya dengan pencapaian NPL pada 0.02 peratus pada 2024,” katanya. 

Beliau berkata secara keseluruhannya, KUSKOP telah melaksanakan sebanyak 204 program pada 2024 yang memberi manfaat kepada hampir 800,000 usahawan PMKS, koperasi, perusahaan sosial, penjaja dan peniaga kecil serta usahawan informal.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan