HAMILTON (Kanada), 4 Feb (Bernama-AA) -- Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Isnin mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju untuk menangguhkan tarif yang dirancang ke atas import dari Kanada selama 30 hari, lapor Agensi Anadolu.
"Saya baru sahaja mengadakan panggilan dengan Presiden Trump," kata Trudeau di akaun X miliknya, sambil menambah bahawa Kanada sedang melaksanakan pelan sempadan bernilai US$1.3 bilion — termasuk memperkukuh kawalan sempadan dengan helikopter baharu, teknologi dan penambahan anggota, mempertingkat koordinasi dengan Amerika, serta menambah sumber bagi menghentikan aliran fentanyl.
Trudeau berkata hampir 10,000 anggota barisan hadapan sedang dan akan terus bertugas bagi melindungi sempadan AS-Kanada, sebagai sebahagian daripada komitmen negara itu.
"Selain itu, Kanada juga membuat komitmen baharu untuk melantik seorang ‘Fentanyl Czar', menyenaraikan kartel sebagai kumpulan pengganas, memastikan pemantauan 24/7 di sempadan, serta melancarkan Canada- US Joint Strike Force bagi memerangi jenayah terancang, fentanyl dan pengubahan wang haram," katanya.
Trudeau turut mengumumkan pemeteraian arahan perisikan baharu mengenai jenayah terancang dan fentanyl, dengan peruntukan dana sebanyak US$200 juta.
"Tarif yang dicadangkan akan ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 hari sementara kami bekerjasama," kata Perdana Menteri itu.
Sejurus selepas pengumuman Trudeau, Trump menulis di platform Truth Social bahawa "Kanada telah bersetuju untuk memastikan kita mempunyai sempadan utara yang selamat dan akhirnya menamatkan ancaman maut dadah seperti fentanyl yang mengalir masuk ke negara kita, membunuh ratusan ribu rakyat Amerika serta memusnahkan keluarga dan komuniti di seluruh negara."
Merujuk kepada komitmen Trudeau mengenai pelan sempadan, Trump berkata: "Sebagai presiden, adalah tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan semua rakyat Amerika, dan saya sedang melakukannya."
"Saya sangat berpuas hati dengan hasil awal ini dan tarif yang diumumkan pada Sabtu akan ditangguhkan selama 30 hari bagi melihat sama ada perjanjian ekonomi dengan Kanada boleh distrukturkan atau tidak," katanya.
Bagi memenuhi janji kempen pilihan raya, Trump menandatangani perintah eksekutif pada Sabtu untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico serta 10 peratus ke atas import dari China.
Kanada, menerusi tindak balas pantas mengumumkan levi 25 peratus ke atas import dari AS.
Sementara itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Isnin mengumumkan bahawa beliau mencapai persetujuan dengan Trump untuk menangguhkan tarif 25 peratus yang dirancang selama sebulan.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial