DUNIA > BERITA

Kerancakan Aliran Komoditi Perlu Dipelihara: Mantan Presiden Majlis Eropah

05/02/2025 02:07 PM

BEIJING, 5 Feb (Bernama-CMG) -- Kerancakan aliran komoditi antara China dan Kesatuan Eropah (EU) malah di lingkungan sejagat perlu dipelihara, kata mantan Presiden Majlis Eropah Herman Van Rompuy.

Rompuy yang juga mantan Perdana Menteri Belgium berpendapat perdagangan global berkaitan rapat dengan kemakmuran bersama.

"Saya menghargai segala langkah yang menggalakkan dan mendorong kesalinghubungan dalam hal itu," ujar beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Rompuy berkata EU perlu terus memperluas keterbukaan pasaran dan menjadi lebih berdaya saing tatkala menghadapi defisit dagangan dengan China. Pada masa sama, EU perlu memastikan China dapat menikmati persekitaran persaingan yang saksama di pasaran Eropah.

Menurut beliau, ketidakpercayaan kini wujud di lingkungan sejagat terutamanya antara entiti ekonomi utama dunia. Maka, dialog menjadi amat signifikan bagi mewujudkan lebih banyak kepercayaan.

"Kita perlu berusaha ke arah mewujudkan multilateralisme dan membuka pasaran dengan sedapat mungkin.

"Apabila muncul perselisihan, kita memerlukan institusi seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menanganinya," kata Rompuy.

Tambah beliau, usaha bersama juga hendaklah diteruskan dalam Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Beliau berkata kelajuan perubahan iklim lebih pantas berbanding tindakan yang telah diambil, sementara sesetengah agensi antarabangsa berkenaan sedang menghadapi ancaman.

"Kita mesti memastikan mereka (agensi antarabangsa) dapat beroperasi dengan lebih baik berbanding masa dahulu antaranya termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," ujar Rompuy.

Banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kepercayaan, kata beliau sambil menegaskan suasana ketidakpercayaan yang wujud pada masa ini perlu dihindarkan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan