BEIJING, 6 Feb (Bernama-CMG) -- Tahun Baharu Cina (TBC) semakin mendapat populariti di seluruh dunia dengan hampir 20 negara mewartakannya sebagai cuti umum dan perayaan itu turut disambut meriah di 200 negara dan wilayah.
Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata TBC 2025 merupakan edisi pertama selepas perayaan tradisional itu diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh UNESCO.
Menurut beliau, China mencatat ledakan pengembara asing yang datang untuk merasai keunikan dan kemeriahan sambutan TBC susulan kemudahan bebas visa serta transit tanpa visa ditawarkan kepada lebih banyak negara.
Data terkini menunjukkan bilangan pelancong asing yang melawat China sempena TBC 2025 melonjak sebanyak 150 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, sekali gus membaharui rekod dalam sejarah.
Di hampir 200 negara dan wilayah, pelbagai aktiviti sambutan yang menarik seperti bazar “miaohui”, tarian naga dan singa, perarakan kereta berhias, program “a taste of China” dan lain-lain turut diadakan dalam suasana penuh ceria sehingga menggamit hati masyarakat tempatan.
Dalam budaya China, ular merupakan simbol ketangkasan, kebijaksanaan dan kedinamikan.
Lin berkata pada Tahun Ular ini, China akan terus memfokuskan kepada pembangunan sendiri sambil berganding bahu dengan negara lain ke arah membina masa depan lebih cemerlang berlandaskan kerjasama saling untung.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial