Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
BALI, 16 Feb (Bernama) -- Tentera Laut Indonesia (TNI AL) pada Ahad secara rasmi mengadakan Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo 2025 (MNEK 2025) di Denpasar, Bali dengan penyertaan 38 negara, termasuk Malaysia yang memfokuskan kepada bantuan kemanusiaan dan operasi bantuan bencana.
Latihan edisi kelima yang berlangsung dari 15 hingga 22 Feb itu dirasmikan oleh Pangima TNI AL, Laksamana Dr Muhammad Ali di Pelabuhan Tanjung Benoa. Ia membawa tema “Perkongsian Maritim untuk Keamanan dan Kestabilan” dengan penekanan kepada operasi bukan peperangan, termasuk tindak balas bencana dan kerjasama keselamatan maritim.
“Sebanyak 38 negara mengambil bahagian dengan 19 kapal perang asing, tujuh helikopter dan tiga pesawat peronda maritim terlibat,” katanya kepada pemberita pada majlis itu di sini.
Beliau berkata TNI AL turut mengerahkan 19 kapal tentera laut bagi menjalani latihan bersama, perbincangan dan usaha bantuan bencana secara kolaboratif di seluruh dunia.
Latihan itu turut merangkumi program berfokuskan komuniti seperti Program Tindakan Sivik Kejuruteraan yang akan menyaksikan pembinaan kemudahan awam di Kampung Antiga Kelod, daerah Karangasem.
Program Tindakan Sivik Perubatan juga akan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan, termasuk pemeriksaan am, rawatan pergigian, berkhatan beramai-ramai, menderma darah serta pembedahan kecil di atas kapal KRI Dr Wahidin Sudiro Husodo-991, yang akan berlabuh di Pelabuhan Tanah Ampo pada Isnin.
Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa ke-6, yang dijadualkan pada Isnin, akan menghimpunkan delegasi dari negara peserta bagi membincangkan isu keselamatan maritim serantau dan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial