Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 17 Feb (Bernama) -- Malaysia mengerahkan dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo (MNEK) 2025 di Bali untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan maritim di peringkat antarabangsa.
KD Kelantan dan KD Selangor akan ikut serta dalam latihan bersama 39 negara lain yang berlangsung dari 15 hingga 22 Feb, dengan tumpuan kepada tindak balas bencana alam dan bantuan kemanusiaan.
Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris berkata penyertaan MNEK akan meningkatkan keyakinan dan keupayaan TLDM menangani ancaman keselamatan maritim termasuk ancaman keganasan, penyeludupan, perompakan dan ancaman maritim lain yang boleh mengganggu kestabilan serantau.
Ini akan memupuk persefahaman dan saling boleh kendali yang lebih baik antara negara terlibat melalui interaksi, pertukaran pengetahuan dan mempelajari taktik baharu serta Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) operasi negara masing-masing sesuai senario dan geopolitik semasa, katanya.
"Penyertaan ini menyerlahkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan serantau melalui kerjasama maritim dan pengurusan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana," katanya kepada Bernama.
Khir Junaidi, selaku ketua delegasi TLDM berkata MNEK merupakan platform terbaik untuk memastikan TLDM sentiasa bersedia dan mampu menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks dan mencerminkan komitmen Malaysia mempromosi kestabilan, keamanan dan menjaga keselamatan maritim di rantau ini," katanya.
Beliau berkata penglibatan TLDM merangkumi Latihan Lapangan, International Fleet Review (IFR), Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa.
Aktiviti lain seperti Engineering Civic Action Programme, Medical Civic Action Programme, Lesson from Expert, Subject Matter Expert Exchange, Maritime Hospitality dan Community Relations.
Perasmian MNEK disempurnakan oleh Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut Laksamana (TNI AL) Dr Muhammad Ali di Tanjung Benoa, pada Ahad, turut dihadiri Penolong Atase Pertahanan (Laut) Komander Nor Izam Baharudin.
Perwakilan dari negara yang terlibat kemudian dibawa belayar bersama kapal TNI AL, KRI Dr. Radjiman Wedyodiningrat bagi menyaksikan IFR yang disertai 37 kapal termasuk KD Kelantan dan KD Selangor.
Dalam sesi mesyuarat dua hala, Khir Junaidi melaksanakan perjumpaan bersama Panglima Tentera Laut dari Indonesia, Brunei, New Zealand dan Australia serta ketua delegasi dari Rusia, Sepanyol dan Bangladesh membincangkan kerjasama pertahanan maritim sedia ada dan perancangan masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial