Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Agensi Berita Vietnam (VNA) komited untuk mengukuhkan lagi hubungannya dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), khususnya dalam menangani isu bersama serta mengguna pakai teknologi baharu dalam industri media.
Ketua Pengarah VNA Vu Viet Trang berkata VNA sedang berusaha untuk memajukan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua agensi serta memperluas pertukaran maklumat bukan sahaja dalam bentuk teks dan foto tetapi juga video.
“Menerusi kemajuan teknologi, kami berharap dapat memudahkan pertukaran semua jenis maklumat, beralih daripada pertukaran foto dan teks semasa kepada video,” katanya kepada Bernama selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak.
Kunjungan hormat itu diadakan sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-54 yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad (16 Feb).
Trang turut berkata semasa kunjungan hormat itu, kedua-dua agensi telah berkongsi pengalaman dalam pengurusan struktur serta berita dalam format digital.
Kedua-dua agensi berita telah memperbaharui perjanjian pada Mac 2022 bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua organisasi berita.
“Perkongsian antara Bernama dan VNA membolehkan kedua-dua agensi menggunakan kandungan berita masing-masing. Sebagai contoh, tahun ini apabila Bernama memainkan peranan dalam Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, kami melihat Bernama menggunakan berita VNA dalam ruangan ASEAN. Ini sangat bagus untuk agensi berita kami.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Nur-ul Afida atas bantuan yang sangat berkesan diberikan Bernama kepada pewarta tetap kami di Kuala Lumpur. Dengan sokongan Bernama, wartawan kami dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Baru-baru ini, Bernama menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Prensa Latina dari Cuba dan Anadolu Ajansi dari Turkiye untuk mengukuhkan lagi kerjasama media serta memperkukuh peranan Bernama sebagai pemain berita global.
Bernama kini dalam proses memuktamadkan perkongsian dengan agensi berita Mongolia, Montsame.
Bernama telah pun telah menjalinkan kerjasama dengan agensi berita dari Asia, Timur Tengah dan Eurasia, mewakili hampir 70 peratus populasi dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial