DUNIA > BERITA

China Sasar Pertumbuhan Ekonomi Sekitar 5 Peratus Pada 2025 

05/03/2025 11:09 AM

BEIJING, 5 Mac (Bernama-Xinhua) -- China menetapkan sasaran kadar pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus pada 2025, menurut laporan kerajaan yang dikemukakan pada Rabu kepada badan perundangan negara.

Laporan itu turut menggariskan beberapa sasaran pembangunan utama lain bagi tahun ini, termasuk kadar pengangguran di kawasan bandar sekitar 5.5 peratus, penciptaan lebih 12 juta peluang pekerjaan baharu di bandar dan peningkatan sekitar dua peratus dalam indeks harga pengguna, lapor Xinhua. 

China mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus pada 2024 susulan pelaksanaan pakej dasar yang berkesan serta langkah pertumbuhan yang membantu mengukuhkan momentum ekonomi negara itu. 

Penasihat politik negara dari Institut Ekonomi Akademi Sains Sosial China, Huang Qunhui menyifatkan sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini berasaskan saintifik dan realistik. 

“Dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar, sasaran yang proaktif dan berdaya tahan ini mencerminkan kesungguhan China dalam menangani ketidaktentuan dengan hala tuju yang jelas,” katanya. 

Memandangkan 2025 merupakan tahun terakhir dalam tempoh Rancangan Lima Tahun China ke-14 (2021-2025) dan penting bagi merangka pelan lima tahun seterusnya, pemerhati percaya bahawa dasar kerajaan bukan sahaja akan memacu pertumbuhan mampan tahun ini tetapi turut meletakkan asas bagi usaha pemodenan negara dalam jangka masa panjang. 

Memacu pembangunan berkualiti tinggi menjadi fokus utama agenda kerajaan tahun ini, dengan keutamaan diberikan kepada rangsangan permintaan domestik serta pembangunan daya pengeluaran berkualiti baharu.

“Kami akan mengamalkan pendekatan berpaksikan rakyat dan memberi tumpuan kepada dasar ekonomi demi meningkatkan taraf hidup serta merangsang perbelanjaan pengguna,” menurut laporan itu. 

Permintaan domestik akan dijadikan pemacu utama serta penstabil pertumbuhan ekonomi.

Bon perbendaharaan khas berjumlah 300 bilion yuan akan dikeluarkan bagi menyokong program tukar beli barangan pengguna. 

China juga menyasarkan untuk membangunkan industri baharu dan masa depan seperti teknologi kuantum, mempercepatkan pemodenan industri tradisional dan menggabungkan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dengan kelebihan dalam sektor pembuatan serta pasaran, menurut laporan itu. 

-- BERNAMA-XINHUA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan