DUNIA > BERITA

Cristiano Ronaldo Cipta Rekod Baharu Dengan Jaringan Ke-927 Dalam Kerjaya

11/03/2025 05:30 PM

KAHERAH, 11 Mac (Bernama-dpa) -- Cristiano Ronaldo terus menentang faktor usia apabila menjaringkan gol ke-927 dalam kariernya ketika membantu Al-Nassr mencatat kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia pada Isnin.

Sejak menyambut ulang tahun ke-30, Ronaldo, yang kini berusia 40 tahun, sudah menjaringkan 464 gol, melebihi 463 gol yang dicatatkannya sebelum usia itu, menurut data yang dikumpulkan oleh akhbar sukan harian Sepanyol, AS dan portal berita Goal.com, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam perlawanan menentang kelab Iran, Esteghlal Tehran, pada Isnin, Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada Al-Nassr, sekali gus memastikan kemenangan serta membantu pasukannya mara ke suku akhir.

Bintang Portugal itu terlepas aksi pertama yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Meskipun usianya semakin meningkat, pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu terus menunjukkan prestasi cemerlang untuk kelab dan negaranya.

Dalam musim ini sahaja, Ronaldo menjaringkan 27 gol dalam perlawanan rasmi bersama kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.

Ronaldo bertekad untuk mencapai sasaran 1,000 gol dalam kariernya, namun seperti yang dinyatakannya dalam satu temu bual awal tahun ini, beliau sudah menganggap dirinya sebagai yang terbaik dalam sejarah.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan